rap

Iklan raya dalam bentuk komedi

Oleh Ardini Sophia Sina

Bertemakan Meriah Bersama, Astro tidak pernah melupakan pelanggan setia yang terus menyokong setiap progam yang ditayangkan.

Mereka komited mencari pengisian berkualiti dan bermutu bagi menghiburkan penonton sepanjang Ramadan hingga Syawal tahun ini.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Astro menyediakan program istimewa raya yang disiarkan di platform digital, televisyen dan radio.

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, tahun ini Astro memperkenalkan iklan raya komersial sempena Aidilfitri iaitu berjudul Gaya Raya Paling Ori (GRPO) yang padat dengan mesej kekeluargaan dan persahabatan dalam bentuk komedi santai.

“Elemen yang disuntik dalam iklan raya itu berdasarkan isu ‘trending’ sepanjang tahun ini. Ia sarat dengan mesej kekeluargaan dan persahabatan disampaikan dalam bentuk komedi.

“Gabungan elemen dimuatkan dalam GRPO membuatkan plot penceritaan kelihatan lebih menarik dan kreatif dalam usaha menzahirkan intipati yang ingin ditonjolkan,” katanya.

Istimewa sempena Syawal ini juga, Astro turut membuka satu saluran khas iaitu Raya HD yang boleh dinikmati bermula 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Khairul berkata, saluran itu disediakan sebagai tanda penghargaan buat pelanggan Astro dan mereka boleh menontonnya tanpa sebarang bayaran tambahan.

Pok Ya Cong Codei: Siti Di Hati pasti dinanti-nanti

Mengisi ruangan hiburan dan muzikal ialah program Gegar Raya Vaganza, Rumah Terbuka AF3018 serta Caca Marba Glamour Raya yang bakal menampilkan selebriti daripada program Akademi Fantasia, Gegar Vaganza dan Maharaja Lawak Mega.

Pelbagai drama hebat turut disajikan bersempena Syawal nanti. Pastinya ramai tidak sabar menonton Ti Amo, Sweetheart 100 Hari lakonan Neelofa dan Zul Ariffin. Ia akan ditayangkan pada 15 hingga 19 Jun jam 7 malam menerusi saluran Astro Ria dan Raya HD.

Selain itu, pasangan Hilman Yong dan Intan Zulaikha sekali lagu muncul menerusi Awak Suka Saya Tak Raya iaitu kesinambungan drama Awak Suka Saya Tak.

Drama menggandingkan Alvin Chong dan Emma Maembong itu ditayangkan pada 20 hingga 24 Jun jam 7 malam menerusi saluran Astro Ria dan Raya HD.

Drama seram berjudul Suri Ram pula mengisahkan Suri, wanita yatim piatu yang mempunyai kelebihan melihat makhluk halus bakal ditayangkan pada 20 dan 27 Jun jam 11 malam menerusi saluran Astro Prima dan Maya HD. Ia menggandingkan Reen Rahim, Bell Ngasri dan Sharolnizam.

Selain itu, telefilem terhebat yang pastinya dinanti-nantikan penonton adalah Pok Ya Cong Codei: Siti Di Hati lakonan Sabri Yunus.

Kali ini Pok Ya dikejutkan dengan kehadiran gengster muda yang ingin merampas takhtanya sebagai gengster besar di Kelantan. Ia ditayangkan pada 30 Jun ini menerusi saluran Astro Citra.

Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim Ridza pula bakal menggeletek hati penonton menerusi telefilem berjudul Bini Aku Dari.... Ia adalah kehidupan rumah tangga Rudi dan Lydia selepas bercinta dalam drama Girlfriend Aku Dari Neraka.

Peminat boleh menonton drama ini pada 16 Jun jam 4 petang menerusi saluran Astro Warna dan Astro Warna HD.

Antara filem menarik yang bakal ditayangkan pula adalah Bisik Pada Langit lakonan mantap Ummi Nazeera dan Jalil Hamid bakal menemui penonton pada 15 Jun, jam 12. 30 tengah hari menerusi saluran Astro Ria dan Raya HD.

Peminat filem Bollywood pula boleh mengikuti kisah percintaan antara Jeneral Maratha dan Puteri Mastani dalam filem Bajirao Mastani pada 16 Jun jam 10 malam di saluran Astro Ria.

Sesiapa yang belum berkesempatan menonton karya hebat Syurga Yang Tak Dirindukan boleh mengambil kesempatan menghayati kisah Arini pada 17 Jun jam 12.30 tengah hari ditayangkan menerusi saluran Astro Ria dan Astro HD.

Antara program hiburan lain adalah Sepahtu Reunion Al Raya, Opera Zero, Bocey & Friends Raya Lah Pulak, Panggung Karoot Pok Ya dan Hancur Lebur. Selain itu terdapat juga rancangan televisyen lain seperti Oh My Family Raya, Cacamarba Glamor Raya, Meletop Raya dan Rumah Terbuka AF2018.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 11:58am
d