rap

Siti Sairah harap alahan tak lama

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Siti Sairah berkongsi pengalaman dirinya mengalami alahan teruk selepas disahkan hamil anak keempat.

Siti Sairah Tarudin, 34, yang juga adik kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, usia kandungannya kini mencecah 10 minggu.

"Alhamdulillah, ini adalah rezeki buat saya dan suami. Sejujurnya, saya sangat berdebar kerana ini kali pertama saya mengalami alahan. Tiga anak sebelum ini, saya okey dan biasa saja.

"Sebelum ini saya hanya nampak dan mendengar cerita orang yang mengalami alahan teruk. Malah, saya selalu cakap, kalau mengandung lagi tidak mahu lalui perkara itu. Namun, saya kena juga.

"Saya kerap muntah, badan lemah, tak larat berjalan dan selalu nak baring saja. Kadang ia berlarutan hingga malam. Suami pula ada ketika tekanan melihat keadaan saya. Dia

naik risau dan kasihan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Disebabkan itu, Sairah berkata dia tidak mampu untuk berpuasa meski beberapa kali cuba untuk berpuasa penuh.

"Saya cuba kuatkan semangat dan diri untuk buat seperti orang biasa, tetapi tidak bermaya. Baru saya rasa alahan sebenar wanita hamil.

"Saya pun tidak tahu sampai bila berterusan begini. Cuma berharap alahan ini tidak lama. Saya juga nak bekerja macam biasa," katanya.

Menurut Sairah, anak ketiganya, Ahmad Aisy, 5, antara yang paling teruja apabila dirinya disahkan hamil.

"Sebelum dapat tahu hamil, Aisy selalu cakap dia nak adik. Saya beritahu belum ada lagi. Tidak menjangka pula, menerusi pemeriksaan awal, doktor memaklumkan saya hamil.

"Apabila anak tahu mereka bakal dapat adik baru, masing-masing gembira. Aisy setiap hari pegang perut saya dan bercakap dengan adiknya yang bakal lahir," katanya.

Mengenai jantina anak, Sairah dan suami menyerahkan perkara itu kepada Allah.

"Saya tak kisah anak lelaki atau perempuan. Asalkan anak yang bakal lahir sihat dan sempurna," katanya.

Sairah dan suami, Mohd Sharidan Johari, 31, berkahwin pada 24 Februari lalu.

Menerusi perkahwinan pertama, Sairah dikurniakan tiga anak iaitu Ummi Umairah, 7, Ahmad Daiyan, 6, dan Ahmad Aisy, 5.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 2:16pm
d