rap

Kami masih bahagia - Dottie

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Dottie menafikan rumah tangganya dengan Mohd Haffis Abu Hassan sedang bergolak.

Dottie atau nama sebenarnya Nor Syuhaida Abd Razak, 30, berkata, mereka bahagia melayari kehidupan sebagai suami isteri sejak lebih setahun lalu.

"Saya akui ramai pihak yang bertanya adakah saya masih tinggal sebumbung dengan suami lagi. Saya ingin jelaskan di sini hubungan kami masih baik dan tidak ada masalah.

"Cuma suami saya kurang selesa apabila saya berkongsi gambarnya di Instagram. Dia bimbang sukar untuk melakukan kerja apabila ada yang mengenalinya.

"Disebabkan itu, saya hormat dengan keputusannya dan jarang memuat naik foto bersama," katanya.

Menurut Dottie, dia tidak berkecil hati atau menyimpan dendam terhadap individu yang membuat spekulasi tidak benar mengenai rumah tangganya.

"Kami okay saja. Kalau ada yang bertanya kami akan jawab dengan baik. Jujur saya tidak marah sebaliknya faham dengan keadaan ini.

"Lagipun kami yang memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kisah peribadi. Lagipun saya sendiri takut untuk berkongsi kebahagiaan rumah tangga, kerana alam rumah tangga ini ada pasang surutnya, jadi lebih baik bersederhana saja," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 4:04pm
d