rap

Muahciked: Derma ikhlas untuk negara

Oleh Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Adik doakan semoga hari minggu yang indah ini kalian sentiasa diberkati dan ceria selalu.

Minggu ini Adik terpanggil untuk bercerita mengenai inisiatif kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) untuk menerima derma rakyat bagi melunaskan hutang negara.

Sebagai rakyat Malaysia, Adik menyokong langkah ini dan berharap hutang negara dapat dikurangkan secepat mungkin.

Adik juga ingin mengambil kesempatan ini menyeru orang ramai untuk sama-sama menghulurkan bantuan demi tanah air tercinta.

Adik percaya kalau setiap daripada kita menderma RM1 seorang, pasti beban hutang negara dapat diringankan. Bagaimanapun, Adik ingin tegaskan bahawa derma yang ingin diberikan haruslah dengan kerelaan hati. Janganlah pula kita rasa terbeban dan menganggap inisiatif kerajaan ini wajib dilakukan setiap individu.

Adik juga akan mengambil peluang ini untuk sama-sama membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara. Lagipun usaha ini adalah langkah yang baik, selain amal kebajikan untuk negara.

Tak sangka, dalam masa sehari kerajaan berjaya memperoleh RM7 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia. Adik sangat kagum dengan semangat patriotisme yang dipamerkan penderma.

Semangat dan usaha mereka mengembalikan ingatan Adik terhadap usaha dilakukan rakyat mengumpul sumbangan bagi menampung misi menuntut kemerdekaan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra ke London, sebelum ini.

Dan ia sekali lagi berlaku selepas ramai antara kita yang menyatakan kesediaan untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang negara yang dikatakan berjumlah RM1 trilion.

Jadi sama-samalah kita berdoa agar masalah yang melanda negara ketika ini dapat ditangani dengan baik demi keselesaan kita nanti.

Bagi yang ingin menyumbang kepada THM, sumbangan boleh dilakukan menerusi akaun bank Maybank THM 566010626452.

Dalam pada itu, Adik juga difahamkan terdapat beberapa negeri yang kawasannya mengalami banjir sehingga ada nyawa terkorban.

Adik sangat sedih ketika diberitahu berita itu dan berharap setiap individu yang berdepan risiko berlaku banjir mengambil iktibar dan mengikut arahan pihak penguasa sekiranya diarah untuk berpindah.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan adalah menyelamatkan diri dan keluarga terlebih dulu. Semoga kita di lindungi dan disayangi Allah SWT. #ujianramadan

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 4:53am
d