rap

Kita ada filem bagus

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Siapa sangka, diam tak diam Datuk Seri Eizlan Yusof, 46, sudah melebarkan sayap ke Korea Selatan pula.

Beliau kini adalah artis di bawah syarikat pengurusan Opus Pictures Talents yang berpangkalan di Seoul sejak Mei lalu.

Selain Eizlan, pelakon Raja Ilya turut diberi peluang berada di bawah syarikat pengurusan sama.

Tawaran itu diterima ketika kunjungan mereka ke Korea Selatan mewakili Aifa Motion Pictures milik Ahmad Idham sempena Festival Filem Chunsa 2018, bulan lalu.

“Saya dan Raja Ilya diberi pendedahan dan kepercayaan untuk berada di dalam produk terbitan mereka pada masa depan terutama yang memerlukan watak bukan domestik.

“Kami artis pertama di bawah mereka dan selepas ini syarikat itu akan buka peluang kepada artis dari negara lain seperti Jepun, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Eizlan akui tiada tempoh kontrak yang khusus, sebaliknya ia berdasarkan kerjasama antara karyawan Malaysia dan Korea Selatan.

Untuk projek pertama, beliau akan terbabit dalam sebuah filem ‘remake’ Korea Selatan yang akan berlatar belakangkan elemen serta lokasi di Malaysia.

Projek ini akan diterbitkan sebuah syarikat produksi dari Korea Selatan dan membabitkan tenaga kerja dari dua negara.

“Sebenarnya kita ada industri filem yang bagus, cuma tidak didedahkan kepada pihak luar. Apabila salah satu filem Ahmad Idham dapat peluang untuk ditayangkan di sana, ramai yang beri maklum balas positif.

“Malah, ada pengarah dan penerbit filem besar di sana berjumpa Ahmad Idham dan bertanya mengenai Malaysia serta cara untuk menjalani penggambaran serta bekerjasama kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang cukup mengenai kita,” katanya.

Beliau yang ke sana atas kapasiti sebagai pelakon filem Pencuri Hati Mr Cinderella yang ditayangkan di festival itu berkata, filem arahan dan terbitan sahabatnya itu disifatkan memiliki banyak sudut ‘kemalaysiaan’ sekali gus memberi impak visual kepada penonton di negara itu.

Antaranya memaparkan keindahan bandar raya Kuala Lumpur dan Melaka melalui filem itu.

Katanya, dari situ dapat dilihat kelemahan ketara dimiliki industri tempatan adalah tiada pendedahan yang secukupnya untuk membuka mata industri luar negara memandang karya tempatan.

“Mereka mahu bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan dan kami sudah utarakan hal ini kepada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) yang bersetuju untuk beri sokongan penuh.

“Pada masa terdekat, kami merancang mengadakan forum perbincangan antara pengkarya industri kreatif dari sana dan di sini,” katanya.

Eizlan dan Ahmad Idham bertemu dengan Ketua Pengarah FINAS Datuk Fauzi Ayob baru-baru ini. Hasil pertemuan itu FINAS akan memberi kerjasama dan bersama-sama untuk memperkasakan pelan yang sudah dibincangkan bersama menjadi realiti.

Melalui pelan yang dicadangkan, ia akan memberi peluang kepada penggiat seni tempatan berkongsi bakat, idea dan teknologi antara dua negara.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 12:27pm
d