rap

Sasar lebih 800 peserta

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Selepas dua tahun penganjuran, Himpunan Artis Sayang Al Quran 2018 atau HASA 3.0 di Istana Budaya, Kuala Lumpur kini menyasarkan penyertaan lebih 800 penggiat seni tempatan.

Presiden Usrah Fitrah (UF) Adam Corrie berkata, sasaran itu diletak kerana melihat pada pencapaian dua siri HASA pada 2016 dan 2017 lalu.

“Pada HASA 1.0 tahun 2016, seramai 400 penggiat seni hadir dan HASA 2.0 tahun lalu menyaksikan pertambahan 200 orang menjadi seramai 600 orang yang hadir.

“Syukur kerana dari tahun ke tahun penyertaan anak seni semakin bertambah kerana mereka mulai faham dengan objektif program ini diadakan iaitu untuk memupuk kecintaan kepada al-Quran,” katanya.

Adam berkata, jemputan sudah dihantar kepada ratusan anak seni tempatan sama ada untuk beri sokongan membuat persembahan atau sebagai penonton pada hari acara.

Perkara sama dikongsikan penyanyi yang juga pendakwah, Heliza Helmi.

Menurutnya, penyertaan kali ini juga disifatkan lebih terbuka kerana turut mendapat sokongan daripada mereka yang bukan dari latar belakang seni seperti doktor, jurutera dan peguam.

Katanya, pada awal HASA 1.0 dua tahun lalu, dia sudah alami debaran kerana teruja menantikan kehadiran anak seni yang mahu memberi sokongan.

“Tapi syukur sebab ramai yang beri maklum balas positif dari tahun ke tahun dan tahun ini lebih seronok sebab ada yang dari latar belakang bukan anak seni.

“Mudah-mudahan HASA kali ini dapat diperluaskan ke peringkat global pula,” katanya.

HASA 3.0 mendapat tajaan lokasi daripada Istana Budaya yang turut menyediakan khidmat tenaga kerja sepanjang program berlangsung bermula jam 5 petang.

Antara selebriti yang menyatakan kehadiran ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Profesor Dr Muhaya, Nora Danish, Ella, Anzalna, Heliza Helmi, Yatt Hamzah, kumpulan Brothers dan InTeam.

Selain dipenuhi dengan acara Musabaqah al-Quran oleh qari dan qariah tempatan, beberapa penyanyi tempatan turut membuat persembahan.

Pengarah Persembahan, Farihin Abdul Fatah berkata, ada beberapa qari tempatan akan persembahkan bacaan al-Quran antaranya Ustaz Tarmizi, Fakhrul Unic dan Raqeeb Majid.

“Pengisiannya lebih kurang sama seperti tahun sebelumnya cuma tema tahun ini adalah Bisikan Syurgawi atau Whisper of Jannah.

“Sebanyak 70 peratus pengisian adalah persembahan berdasarkan pengisian al-Quran dan 30 peratus lagi alunan lagu-lagu nasyid serta ketuhanan,” katanya.

Ia akan dipecahkan kepada empat blok persembahan iaitu blok pertama berkaitan Syurga Awal dan Akhir, kedua, Syarat-Syarat ke Jannah, ketiga, Jalan Pintas Oleh Para Rasul dan Nabi dan terakhir, Khabar Rupa Bagaimana ke Jannah.

Selain itu, HASA 3.0 juga bakal menobatkan Tokoh Hamalatul Quran yang akan diumumkan pada malam kemuncak acara.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 12:30pm
d