rap

'Ala-ala tapi melodi tak sama'

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI, Siti Sarah menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan single terbarunya, Semakin mirip lagu Matahari nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica.

Sarah berkata, melodi Semakin langsung tidak sama dengan mana-mana dendangan Agnes sebaliknya susunannya yang terdengar seperti lagu penyanyi itu.

"Melodi lagu itu memang tidak sama dengan mana-mana lagu Agnes, cuma saya minta susunannya dibuat ala-ala nyanyian Agnes.

"Ini kerana, saya meminati susunan lagu Agnes yang mempunyai banyak warna dan cabaran tersendiri," katanya.

Menurut Sarah, meskipun lagunya disamakan dengan lagu nyanyian Agnes, tapi dia yakin pendengar tidak dapat mengesahkan lagu nyanyian Agnes itu.

"Lagu ini mungkin terdengar seperti lagu Tanpa Kekasihmu, Matahari atau Jera kerana konsep susunannya yang memang ke arah itu. Namun secara spesifiknya melodi lagu ini tidak sama.

"Bagaimanapun saya bersyukur lagu ini diterima dengan baik. Alhamdulillah penantian selama tujuh tahun tidak keluarkan single akhirnya saya dapat lagu yang saya tunggu selama ini," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 5:13pm
d