rap

Restoran Afdlin kembali beroperasi

Oleh Amirul Haswendy Ashari

RESTORAN berkonsep kelab komedi, Comedy Planet milik penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang ditutup pada hujung Mei lalu di Ampang akan dibuka semula di lokasi baru.

Afdlin berkata restorannya itu akan dibuka berhampiran The Strand, Kota Damansara.

"Jika segala perancangan berjalan lancar, saya mensasarkan pembukaannya dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Lokasi itu dipilih sebab kebetulan saya dan Datuk AC Mizal nak buka stesen tv sendiri dan bangunan yang kami akan ambil alih mempunyai premis restoran di bawah pejabat," katanya pada majlis Himpunan Artis Sayang Al-Quran 3.0 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Afdlin berkata restoran akan mengenengahkan konsep baru dan lebih segar apabila lokasi baru ini dilancarkan kelak.

Untuk tujuan itu, beliau merancang mendapatkan tukang masak profesional yang pakar dalam menyediakan masakan Cina dan Malaysia.

Pengarah filem Buli dan Buli Balik berharap lokasi baru itu dapat memberi nuansa berbeza buat peminat komedi tempatan.

Sebelum ini, Afdlin mengakui terpaksa menutup cawangannya di Great Eastern Mall itu kerana tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kecuali pada waktu persembahan komedi khas sahaja.

Pada hujung Mei lalu, menerusi Instagram peribadi beliau, Afdlin mengumumkan berita penutupan restoran itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak sentiasa menyokong perniagaan dijalankan di situ sejak 7 Disember 2016.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 3:02pm
d