rap

Sahimi terus mencuba

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Apabila disebut nama Sahimi Ibrahim, pasti ramai yang bertanya siapakah dia?

Jika dia penyanyi, apa lagunya? Sedapkah suaranya?

Namun, tuan empunya badan pasti sudah lali dengan pertanyaan sedemikian.

Pada 2016, Sahimi, 30, pernah muncul dengan lagu berjudul Melangkah ciptaan Panji Sakti, namun ia kurang memberi impak untuk meletakkan namanya dalam industri muzik tempatan.

Walaupun sambutannya kurang memberangsangkan, ia tidak melemahkan semangat guru vokal dari Universiti Kuala Lumpur ini untuk terus berkarya.

Kini, Sahimi tampil dengan lagu terbaru berjudul Nafas ciptaan Hazami.

Bercerita mengenai kerjaya nyanyiannya yang bergerak perlahan, Sahimi berkata, perkara itu tidak pernah membuatkan dia kecewa atau berputus asa.

“Jika mahu bercakap mengenai populariti, ia terlalu subjektif untuk diperkatakan dan susah untuk diukur. Jadi saya membuat keputusan berkarya bukan kerana populariti.

“Menyanyi sudah menjadi minat saya sejak dulu. Saya lakukannya lebih kepada kepuasan hati. Saya percaya jika kita melakukan sesuatu dengan sepenuh hati, pasti keikhlasan itu akan sampai juga kepada pendengar,” katanya.

Menurut Sahimi, dia tidak pernah bermimpi suatu hari nanti akan bergelar artis rakaman. Dia juga berterima kasih kepada syarikat rakaman Cloudsworks kerana menjadikan impiannya satu kenyataan.

Sahimi berkata, dia turut mendalami ilmu vokal kerana saya kerap menyertai persembahan koir. Sepanjang menyertai kumpulan koir ini dia berpeluang belajar dengan ramai tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang itu termasuklah Shahrul yang pernah mengajar di Akademi Fantasia.

“Kemudian saya berjumpa dengan Hazami untuk mendalami lagi teknik nyanyian. Dari situ timbul idea melakukan kerjasama menghasilkan Nafas,” katanya.

Bekerja dengan Hazami juga bukan satu masalah buat Sahimi. Sebagai guru dan anak murid, mereka sudah faham dengan cara kerja masing-masing.

“Apabila keserasian itu sudah ada, jadi kerja menjadi mudah. Sebelum masuk studio lagi saya dan Hazami berbincang lagu bagaimana dirasakan sesuai untuk saya dendangkan.

“Sepanjang proses menghasilkan Nafas, saya banyak belajar mengenai selok-belok penciptaan dan penerbitan lagu,” katanya.

Sahimi berkata, jika tidak ada rezekinya sebagai penyanyi, dia akan terus menjadi tenaga pengajar dalam bidang vokal.

“Saya juga mempunyai impian untuk mengikut jejak langkah Hazami dengan menghasilkan lagu ciptaan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 3:41am
d