rap

'Dulu abah selalu buat macam ni'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON, Fazlina Ahmad Daud sebak apabila anak-anak yatim dan asnaf daripada Persatuan Kebajikan Al Firdausi menyanyikan lagu selamat hari lahirnya yang ke-43.

Kejutan dilakukan pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya kepada persatuan itu sempena Kempen Kebajikan Ramadan anjuran hotel The KL Journal di Bukit Bintang, semalam.

Perasaan itu amat dirasai Fazlina kerana arwah bapanya, seniman Datuk Ahmad Daud selalu meraikan hari lahirnya setiap tahun pada 5 Jun hinggalah kali terakhir ketika mencapai usia 26.

Ahmad Daud, penyanyi, pelakon dan pengarah legenda meninggal dunia pada 12 Jun 2002.

"Sejak kecil, arwah sering meraikan hari lahir saya bersama anak-anak yatim dan asnaf di rumah kami di Taman Melawati, di sini.

"Biarpun kesihatan tidak mengizinkan, beliau tidak jemu dan akan memastikan urusan katering, pengisian acara dan tetamu jemputan rumah anak yatim berjalan lancar," katanya dengan linangan air mata.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) ASK 2016 melalui drama Cermin Kasih itu, mengakui menyembunyikan rasa rindunya sepanjang 16 tahun lalu.

"Saya tidak tahu nak gambarkan bagaimana tetapi nyanyian dan pendekatan mereka menyentuh hati," katanya.

Pada majlis itu, beberapa rakan artis antaranya Datuk Farid Kamil, Datin Diana Danielle dan Syainie Suhaimi hadir memeriahkan.

Kempen Kebajikan Ramadan itu adalah susulan kepada acara Raya Mode @ KL Journal iaitu program membeli belah amal selama 48 jam tanpa henti berlangsung pada 2 dan 3 Jun lalu.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 1:43pm
d