rap

Bukan rezeki Aiman Hakim...

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENGARAH drama popular, Shahrul Ezad Mohamedin menolak dakwaan pelakon, Aiman Hakim Ridza yang menyifatkan kebanyakan skrip drama tempatan dihasilkan ‘sampah’ dan tidak bermutu.

Bagaimanapun pengarah selaku penulis skrip drama Nur itu tidak menyalahkan Aiman membuat kenyataan itu.

Dia menganggap Aiman yang dikaitkan dengan Fathia Latiff sebelum ini bernasib malang kerana berlakon dalam karya dengan skrip tidak bermutu.

“Sebagai penggiat, penerbit, pengarah dan menulis skrip, saya dapati banyak cerita bagus ditulis di Malaysia.

“Contohnya adalah drama bersiri Nurkasih ditulis Mira Mustafa, Kekasihku Seru dan Andainya Takdirnya.

“Bukan rezeki Aiman terbabit dalam produksi bagus. Dia tidak patut menyalahkan skrip tidak bermutu,” katanya.

Jelas Ezad, Aiman perlu bertanggungjawab memilih projek berkualiti.

“Saya mendoakan pelakon drama bersiri Girlfriend Dari Neraka itu bertemu skrip bagus untuk kelangsungan kerjaya seninya,” katanya.

Penerbit, pengarah dan penulis skrip terkenal, Erma Fatima pula tidak tidak menyalahkan Aiman kerana penulis skrip terikat dengan kehendak stesen TV yang bergantung kepada penonton.

“Perkara itu bergantung kepada penonton sendiri. Kalau kita lihat tema drama tempatan sama saja dan berada ditakuk lama tetapi walaupun sama itulah memperoleh jumlah tontonan tinggi.

“Jadi stesen TV, akan mengarahkan penerbit dan penulis skrip menghasilkan karya yang dimahukan penonton berdasarkan garis panduan drama memperoleh jumlah tontonan tinggi,” katanya.

Tambah Erma lagi, sebenarnya di Malaysia ada ramai penulis skrip bagus dan mempunyai idea luas. Cuma untuk kelangsungan hidup.

“Cuma mereka terpaksa berkarya dengan tangan terikat dan patuh kepada kehendak penonton.

Dalam laporan semalam, Aiman menegaskan tidak kisah disenarai hitam kerana mengkritik penulis skrip yang didakwa gagal menghasilkan karya bermutu.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 5:44pm
d