rap

Teruja miliki lagu raya sendiri

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Aidilfitri ini amat bermakna kepada Izzmad Harun dengan kehadiran lagu rayanya berjudul Baju Raya Eksklusif berkonsepkan Broadway blues.

Tiada kesedihan atau kebimbangan pada hari mulia, itulah erti Aidilfitri yang sebenar kepada penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak ini.

Irama yang indah untuk dinikmati, Izzmad berharap lagu itu menjadi antara lagu kegemaran ramai setiap kali tibanya hari lebaran.

Lagu itu juga menjadi lagu tema telefilem berjudul sama arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Telefilem itu ditayangkan di TV3 pada Aidilfitri ini.

Lagu dan lirik Baju Raya Eksklusif adalah ciptaan Royce Sa’ayan.

Menurut Izzmad, dia begitu teruja memiliki lagu raya sendiri.

Walaupun masih bergelut untuk menempatkan diri dalam arus perdana dunia hiburan tanah air, Izzmad tidak pernah patah semangat.

Malah dengan bantuan pengurusnya Ianz Fariz, mereka terus berjuang dan hasil kerja keras, Izzmad turut menceburi bidang lakonan.

“Belum lagi berpeluang membawa watak besar, tetapi setiap watak yang saya lakonkan akan dibawa dengan sebaik mungkin. Sekecil atau sebenar mana pun watak yang dilakonkan ia adalah satu amanah dan memerlukan penghayatan yang mendalam.

“Saya pergi ke kelas lakonan dan mendalami seni mempertahankan diri sebagai persediaan. Bukan tabiat saya, apabila dapat watak baru mahu berlatih. Saya perlu bersedia bila-bila masa saja,” katanya.

FAHAMI WATAK

Terbaru, penyanyi lagi Nilai Kasih ini akan berlakon dalam filem aksi yang kini dalam proses pembacaan skrip dan memahami watak.

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam filem pertama lakonan saya. Daripada watak kecil, pihak produksi mengembangkan watak saya menjadi lebih besar kerana kelebihan dalam seni mempertahankan diri,” katanya.

Terdahulu, Izzmad baru selesai penggambaran telefilem berjudul Sembilu Dosa khusus untuk siaran Hari Ibu bakal mengisi slot RTM.

Dalam telefilem terbitan Tenview Production itu, Izzmad memegang watak Saleem iaitu anak seorang pemilik kilang kerepek.

Menurut Izzmad, projek lain ialah merakamkan lagu berkonsepkan kontemporari ketuhanan.

“Lagu itu dijadikan lagu tema untuk sebuah telefilem yang akan menjalani penggambaran pada masa terdekat untuk siaran TV3.

“Untuk lagu ini, saya bekerjasama dengan Abang Ianz bagi mengorak langkah dalam bidang penciptaan dan menulis lirik lagu pula.

“Saya perlu bersedia untuk mempelbagaikan bakat dan kebolehan saya dalam bidang seni. Mungkin selepas ini saya boleh menghasilkan lirik untuk penyanyi baru,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 4:32am
d