rap

'Setiap episod ada cabaran'

Oleh Georgie Joseph

Pengarah Jeremy Podeswa, 55, bersyukur apabila dipilih sebagai pengarah musim kelima hingga ketujuh siri kegilaan ramai, Game of Thrones.

Jeremy berkata, ia umpama mimpi jadi kenyataan kerana sebelum itu dia terpaksa menolak tawaran sebagai pengarah untuk musim ketiga siri terbitan HBO itu.

“Saya sentiasa sukakan Game of Thrones dan memang mahu menjadi sebahagian daripadanya. Saya sangat gembira apabila akhirnya diberi peluang mengarah musim kelima, keenam dan ketujuh,” katanya ketika ditemu bual RAP, baru-baru ini.

Pengarah kelahiran Kanada itu juga tidak menafikan siri terbabit adalah antara paling mencabar buatnya.

“Ia adalah produksi paling sukar pernah saya buat. Ia disebabkan penggambarannya dilakukan di pelbagai negara, terlalu banyak kesan visual dan jumlah pelakon yang terlalu ramai.

“Setiap episod mempunyai cabarannya tersendiri. Setiap yang terbabit sangat hebat sekali gus penggambaran berjalan dengan lancar,” katanya.

Walaupun tidak mengarah semua episod dalam tiga musim Game of Thrones itu, Jeremy ternyata tetap menggalas tanggungjawab yang berat.

Reputasi drama itu bukan saja berkisar jalan ceritanya bagus, sebaliknya watak ditampilkan menjadi kekuatan utama.

Rata-rata peminat tegar drama berkenaan banyak memperkatakan mengenai watak kegemaran mereka.

Jeremy juga tidak mahu ketinggalan menyumbangkan sepenuh kreativitinya terhadap setiap babak.

“Sumbangan saya sebagai pengarah semestinya untuk meresap ke dalam kepala pencipta cerita itu. Bukan saja untuk tampil dengan drama yang baik, tetapi kena angkat lagi cerita itu ke tahap lebih tinggi.

“Tugas saya untuk menghidupkan sesuatu yang tidak diterangkan secara terperinci dalam skrip. Ia termasuk babak dramatik apabila Night King terbang menaiki seekor naga dan banyak lagi,” katanya.

Sudah berkhidmat untuk HBO lebih dua dekad, mengarahkan produksi berskala besar untuk drama Rome banyak mempersiapkannya bagi menjayakan Game of Thrones.

Menurutnya, dia cuma perlu mendalami dan mengkaji setiap watak atau jalan cerita supaya tidak bercanggah dengan cara pengarah lain bagi setiap episod berbeza.

“Apabila terbabit dengan sebuah rancangan, serta-merta kita menjadi pelajar untuk rancangan terbabit.

“Bagi saya, ia sangat penting untuk belajar rancangan itu dan menguasai setiap plot ceritanya sehinggalah arif dengan setiap karakter.

“Juga adalah perlu untuk memahami bahasa sinema rancangan itu supaya dapat menjayakannya dengan lebih spesifik,” katanya.

Jeremy sudah mengarahkan banyak drama terbaik HBO apabila setiap tahun pasti memenangi trofi di acara Emmy Awards. Antaranya Six Feet Under, Rome, True Blood, Broadwalk Empire, True Detective, Here & Now, dan Game of Thrones.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 4:34am
d