rap

Berhati-hati bila beraya

Oleh Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca Metro Ahad. Adik doakan semoga hari minggu ini membawa keceriaan kepada kalian.

Ramadan semakin menghampiri penghujungnya. Hanya tinggal beberapa hari lagi umat Islam akan mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadan dan menyambut Syawal.

Adik doakan semoga baki beberapa hari lagi ini dapat dimanfaatkan dengan beribadat dan mencari keberkatan. Justeru, sama-samalah kita berdoa supaya dapat menyelesaikan ibadat puasa ini dengan baik.

Pasti sekarang ramai rancak membuat persiapan Aidilfitri untuk diri sendiri dan keluarga. Adik harap setiap keperluan yang dibeli mengikut bajet dan kemampuan diri. Persiapan Adik tahun ini sederhana saja. Jangan membazir, tau!

Pada hari raya nanti Adik akan bergaya dengan busana daripada Ariani dan Jakel. Adik duta dua jenama pakaian ini. Mana yang belum sempat beli baju, jangan buang masa, cepatlah ke butik Ariani dan Jakel, bimbang nanti stok habis.

Lebaran kali ini, Adik hanya bercuti selama empat hari kerana terikat dengan penggambaran drama. Walaupun sekejap saja pulang ke Melaka, cukuplah Adik meluangkan masa bersama keluarga, saudara-mara dan peminat.

Pada kesempatan ini Adik mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh pembaca budiman. Sehari dua ini bermulalah perjalanan warga kota pulang ke kampung masing-masing.

Adik juga ingin mengingatkan diri sendiri dan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu. Biar apa juga pengangkutan yang diguna, pastikan kita selamat sampai ke destinasi.

Adik dapati kelakuan manusia sekarang semakin ‘sakit’ apabila banyak kes jenayah berlaku tanpa belas kasihan.

Contohnya Adik terbaca kes seorang datuk melakukan kesalahan seksual terhadap cucunya yang berusia sembilan tahun serta seorang lelaki membunuh bekas teman wanitanya.

Aduhai! Luluh hati Adik apabila membaca cerita begini. Adik ingin berpesan kepada semua supaya berhati-hati kerana zaman sekarang, ahli keluarga sendiri atau orang terdekat boleh khianat dan melakukan perkara tidak baik.

Sama-samalah kita berdoa agar dilindungi Allah SWT dan dijauhkan segala anasir jahat.

#BahagiaRaya

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 5:48am
d