rap

'Hambar tanpa Alif dan Faizal'

Oleh Michelle Gun

PELAWAK, Nabil Ahmad mendedahkan pembikinan telefilem terbitannya, The Hantus tidak akan diteruskan sekiranya pelakon Alif Satar dan Faizal Hussein tidak membintanginya.

Nabil yang juga pengarah bersama telefilem seram komedi itu berkata sudah membayangkan dua pelakon berkenaan sewaktu menulis skrip.

"Alif pelakon semula jadi dan boleh melontarkan dialog bersahaja. Faizal pula lakonannya berkesan dan 'power'.

"Oleh itu, saya nekad mahu mereka untuk watak utama. Malah, saya ada memberitahu Alif pembikinan telefilem ini tidak akan bermula tanpanya," katanya.

Dalam The Hantus arahan Halmi Yusof, Faizal membawa watak pemandu kereta Volkswagen kuning manakala Alif sebagai mangsa kemalangan jalan raya Fami.

Ujar Nabil lagi, dia turut memilih pakaian Faizal agar berpadan dengan imej sebagai pemandu kereta mistik itu.

"Sebelum ini, belum pernah ada cerita seram memaparkan pemandu Volkswagen kuning. Jadi, ketika mewujudkan watak itu, saya mendapati Faizal sememangnya sesuai menjadi pemandu.

"Dari jaket, seluar jeans, stoking dan kasut semuanya saya pilih untuk watak terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Nabil memberitahu belum bersedia menggalas tugas sebagai pengarah sepenuhnya.

"Bukan kurang keyakinan tetapi saya sedar diri belum cukup bagus untuk mengarah sepenuhnya sebuah karya.

"Oleh itu, saya memerlukan pengarah berpengalaman membimbing serta memberi nasihat," katanya.

Telefilem The Hantus turut menampilkan Khatijah Tan dan Hannah Delisha, kini ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif.

Disiarkan pada: June 17, 2018 @ 6:22pm
d