rap

Mahu derma sebelah buah pinggang buat suami

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SAYA rela mendermakan sebelah buah pinggang untuk suami. Dia insan amat disayangi dan kami ibarat berkongsi nyawa.

“Bahkan anak kami juga rela mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada ayahnya sekiranya buah pinggang saya tidak sesuai,”.

Demikian pengorbanan penyanyi Dayangku Intan terhadap suaminya, Rosman Yahil yang kini berdepan masalah sakit kedua-dua belah buah pinggang.

Rosman, 56, sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas dipindahkan dari Hospital Serdang pada Ahad lalu.

Dayang, 53, popular dengan lagu Raya berjudul Senandung Hari Raya Untukmu berkata, suaminya memang mengidap kencing manis dan darah tinggi tetapi keadaannya terkawal.

“Keadaan kesihatannya sebelum ini amat bagus. Cuma, tahun lalu dia terkena wabak kencing tikus yang disyaki dari bekas minuman ketika bertandang ke rumah seorang kenalan.

“Dia mengalami demam dan mulanya doktor menjangkakan dia terkena demam denggi. Selepas menerima rawatan dia kembali sihat tetapi tanpa disedari buah pinggangnya perlahan-lahan mengalami masalah sehingga rosak sepenuhnya.

“Keadaannya kembali stabil tetapi seminggu berpuasa, suami kembali demam. Dia sering mendapatkan rawatan doktor dan dinasihatkan supaya jaga pemakanan. Seminggu sebelum Aidilfitri, dia kembali dimasukkan ke Hospital Serdang,” katanya.

Dayang berkata, masalah utama yang dihadapi oleh pesakit buah pinggang ialah mendapatkan buah pinggang daripada penderma dan ini mencetuskan idea untuknya mencetuskan kesedaran menderma buah pinggang.

“Di hospital saya dapati ramai pesakit kencing manis yang buat dialisis serta yang mengalami masalah buah pinggang menunggu giliran untuk mencari penderma.

“Tetapi insan terdekat seperti isteri atau suami tidak mahu menderma kerana pelbagai persepsi negatif.

“Sebenarnya tiada apa-apa kesan pun jika kita mendermakan sebelah buah pinggang dan boleh aktif seperti biasa. Tiada sebarang risiko,” katanya.

Menurut Dayang, keadaan kesihatannya berada di tahap baik dan dijangka membuat pemindahan buah pinggang pada Ogos nanti.

“Saya pun sudah buat ujian dan syukurlah semuanya berjalan lancar. Saya beruntung kerana seorang individu berpengaruh yang juga kenalan lama sudi tanggung kos pembiayaan nanti.

“Sebagai kesedaran kepada masyarakat, saya juga mewujudkan saluran Dayangku Intan di YouTube. Saya akan muatkan segala info berkenaan kempen ini nanti.

“Saya berterima kasih dengan layanan baik daripada doktor di Hospital Serdang selama menerima rawatan di sana serta turut memberi kebenaran buat suami untuk sambut Aidilfitri di rumah bersama keluarga,” katanya yang memilih hospital swasta bagi mempercepatkan proses pemindahan buah pinggang.

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 9:09pm
d