rap

Ikutlah resmi padi...

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Shiha Zikir meminta penyanyi muda mencontohi sikap penyanyi lama dan tidak berputus-asa dengan mudah.

Shiha, 30, berkata amat rugi buat penyanyi muda yang diberi peluang serta dikurniakan bakat bagus jika mudah mengalah.

“Untuk adik-adik, harap dapat kuatkan semangat. Ramai yang nak tengok kita jatuh tapi hanya kita sendiri mampu tolong diri sendiri.

“Belajar sikap orang-orang lama iaitu sentiasa merendah diri, hormat orang lain dan terima teguran dengan dada yang lapang. Jangan sia-siakan bakat dan ingat pengorbanan keluarga, diri-sendiri dan peminat.

“Abaikan kata-kata netizen yang mungkin punya banyak masa terluang dan kurang kasih sayang itu. Orang bagi benda buruk, kita balas benda baik,” katanya.

Shiha juga mengakui dia pernah terdetik untuk berhenti menyanyi namun tidak mahu goyah serta menjadikan ia pengajaran terbaik buatnya.

“Saya faham disebabkan pernah melalui pengalaman itu berkali-kali. Banyak contoh seperti orang tak tengok muka saya apabila bersalam, kawan-kawan tikam belakang, dan kena perli.

“Bahkan ada yang pernah mempersoalkan sama ada saya layak berada dalam industri dan menyuruh saya sedar diri.

“Tapi saya jenis tidak putus asa sebab sedar perjalanan saya ke tahap sekarang bukan mudah,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi muda Haqiem Rusli mengumumkan dia mungkin akan berhenti menyanyi disebabkan masalah kemurungan.

Kemudian, penyanyi As’ad Motawh pula mengatakan mahu berhenti menyanyi jika Haqiem berbuat demikian.

Disiarkan pada: June 20, 2018 @ 4:20pm
d