rap

Komik Kartini difilemkan

Oleh Ridzuan AbdulRahman

IMPIAN peminat siri komik Kartini yang popular sekitar tahun 2000 untuk melihatnya diadaptasi dalam bentuk filem akan menjadi kenyataan biarpun penulis dan pelukisnya, Tembakau meninggal dunia, Isnin lalu akibat masalah jantung.

Perkara itu disahkan sendiri pengarah filem itu, Al Jafree Md Yusop yang mengakui dalam persiapan terakhir memulakan penggambaran.

“InsyaAllah... penerbit filem akan buat pengumuman rasmi tak lama lagi. Skripnya ditulis sendiri arwah Tembakau tanpa sebarang pindaan. Seratus peratus adalah idea arwah.

“Manakala, saya pula diminta oleh Tembakau untuk mengarahkan filem itu selepas arwah menonton telefilem Melur vs Rajawali arahan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Al Jafree bagaimanapun tidak memberitahu tarikh sebenar penggambaran serta nama penerbit filem itu kerana mahu menunggu pengumuman rasmi dikeluarkan nanti.

“Saya tidak boleh berkongsi banyak termasuk tarikh rasmi sehinggalah pengumuman dibuat oleh penerbit.

“Begitu juga dengan barisan pelakon-pelakon termasuk pemegang watak Kartini tapi pelakon Eric Fuzi akan memegang watak sebagai Aryon,” katanya.

Menurut Al Jafree, namanya tanpa sengaja terdedah sebagai pengarah Kartini apabila Tembakau membuat pengumuman di laman sosial Facebooknya.

“Namun ia bukan masalah besar kerana sudah ada persetujuan antara semua pihak terbabit dalam pembikinan filem ini termasuklah penerbit siri komik Kartini,” katanya.

Sementara itu, Eric, 25, kini bermain keyboard untuk kumpulan Floor 88 berkata, dia belum menandatangani sebarang kontrak untuk berlakon filem itu.

“Memang arwah Tembakau dan Al Jafree pilih saya untuk bawa watak Aryon.

“Apapun menerusi perbincangan, saya pun setuju bawa watak itu kerana ia sangat menarik,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2018 @ 6:03pm
d