rap

Bangga lagu raya sendiri

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Lagu berjudul Raya Kita menjadi kebanggaan buat Nizam Laksamana. Ia amat bermakna kerana sepanjang pembabitannya selama 30 tahun dalam bidang seni, dia belum pernah mempunyai lagu raya sendiri.

Lagu berentak ‘catchy’ dan santai ini hasil ciptaan Nizam dan dihasilkan sebagai kenang-kenangan untuk masa depan.

“Jika ditanya setiap penyanyi, pasti semuanya mempunyai impian untuk ada lagu raya sendiri.

“Begitu juga dengan saya yang sanggup perah idea dan tak teragak-agak keluarkan modal sendiri untuk merakamkan lagu ini. Ia bukan untuk dijual, tapi sekadar untuk dimainkan di stesen radio setiap kali tiba Aidilfitri.

“Kalau boleh, saya nak lagu ini kekal dimainkan di stesen radio seperti lagu raya lain walaupun saya sudah tiada. Ia tak menyebut mengenai Aidilfitri dan sesuai juga dimainkan ketika Aidiladha,” katanya.

Nizam memilih lirik yang ringkas dengan menggambarkan suasana seharian ketika menyambut dua perayaan besar umat Islam ini.

“Alhamdulillah, lagu ini kerap dimainkan di stesen radio tempatan termasuk stesen radio di Bengkalis, Indonesia dan stesen radio Pelangi, Brunei.

“Saya gunakan sepenuhnya pengalaman yang ada dalam industri muzik bagi menghasilkan lagu ini. Syukur Datuk Nassier Wahab pun berminat dan minta saya cipta lagu raya untuk dinyanyikan pada masa depan,” katanya.

Dibandingkan dengan penyanyi seangkatannya, Nizam dilihat aktif menghasilkan single setiap tahun. Awal tahun ini, dia tampil dengan single berjudul Rajuk Kekasih.

“Saya bersyukur kerana hubungan yang terjalin baik dengan penyampai radio banyak membantu. Saya tak rasa segan jumpa mereka untuk hantar CD kerana situasi sekarang berbeza daripada dahulu.

“Ikutkan saya sebenarnya mampu upah orang lain untuk buat kerja ini, tapi benda ini saya boleh buat sendiri.

“Lagipun dengan cara bertemu mereka sendiri lebih mengeratkan ikatan antara kami. Saya dah lama kenal mereka dan kekal berkawan sehingga kini,” katanya.

Selepas meraikan Aidilfitri, Nizam akan kembali dengan agenda menganjurkan persembahan amal bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Perancangan sebelum ini terpaksa ditunda seketika kerana kita terbabit dengan Pilihan Raya Umum ke-14 dan kemudian menyambut bulan Ramadan dan seterusnya Aidilfitri.

“Saya masih membuka ruang buat mana-mana pihak yang nak menjalinkan kerjasama dalam penganjurannya,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 9:51am
d