rap

Bawa isu sosial remaja

Oleh HM Digital

Tentu ramai yang meminati lagu Zalikha nyanyian Ayie bersama kumpulan Floor 88.

Terbaru, peminat boleh menonton lakonan Ayie menerusi teater muzikal berjudul The Venom Musicals di Black Box, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 28 hingga 30 Jun ini bermula jam 8.30 malam.

Pementasan membabitkan pelajar tahun dua, Fakulti Teater ASWARA ini dibimbing Amri Zane yang juga bekas tenaga pengajar koir kebangsaan.

Ia adalah subjek penilaian pelajar meliputi aspek praktikal bagi pelajar yang mengikuti kursus Produksi Teater Muzikal.

The Venom Musicals diinspirasikan daripada filem remaja Barat, High School Musicals. Naskhah ini dipilih kerana isunya sangat dekat dengan jiwa remaja pelajar terbabit, selain lagunya yang popular dan sering menjadi siulan remaja.

Cerita ini lebih ringan yang memaparkan isu sosial remaja zaman sekarang. Ia juga sangat relevan dengan isu semasa dan lakonan yang bersahaja.

Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Teater akan menjadi tonggak utama dalam pementasan ini.

Walaupun hanya subjek penilaian, dia perlu membuktikan keberkesanan lakonannya.

Pementasan ini juga akan menjadi titik permulaan untuknya menjadi pelakon yang versatil.

Malah, pengalaman berlakon di pentas juga dapat membantunya untuk lebih yakin ketika membuat persembahan nyanyian atau lakonan.

Produksi ini juga akan dipersembahkan kepada khalayak umum untuk dihayati dan dinilai oleh masyarakat.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 9:53am
d