rap

'Tak kontroversi... ok!'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENCERAMAH bebas, Syamsul Debat atau Syamsul Amri Ismail, 41, tidak menolak kemungkinan mencuba bidang lakonan pula pada masa depan.

Ia susulan penampilan sulungnya melalui filem This Is Pilah: The Movie mencuri tumpuan penonton biar pun sekadar muncul beberapa babak sahaja.

"Saya bersedia ceburi bidang lakonan dan berminat untuk mencuba watak selain penceramah agama.

"Pun begitu, kena juga tengok jadual harian saya yang sentiasa padat dengan jemputan untuk berceramah," katanya.

Syamsul berkata, dia tiada masalah andai ditawarkan watak antagonis sekali pun contohnya seperti watak samseng.

Baginya, asalkan watak atau babak dilakonkan tidak mencetus kontroversi tetapi memberi kebaikan kepada penonton.

Katanya lagi, beberapa pengarah dan syarikat produksi cuba merisik selepas terbabit dalam lakonan.

"Tiada yang serius mengajukan tawaran berlakon mungkin sebab mereka fikir saya selesa menjadi diri sendiri," katanya pada majlis tayangan filem itu, semalam.

Filem komedi romantik terbitan Madness Film Sdn Bhd turut memperkenalkan penyanyi rap, Juzzthin dan bakat baru program realiti, Clever Girl, Zaidatul Iesna sebagai pelakon utama.

Selain itu, filem arahan Rosdi Md Dali menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu menampilkan lakonan Kazar Saisi, Ebby Yus, Joey Daud dan penyanyi rap, Waris.

Disiarkan pada: June 22, 2018 @ 12:50pm
d