rap

Si comel lebih utama

Oleh Norhayati Nordin

Nama Suriati Abu Bakar atau Atie, 36, pernah mewarnai industri hiburan tanah air selepas kemunculannya dalam Akademi Fantasia musim pertama (AF1) pada 2003.

Walaupun bakatnya tidak terserlah dalam bidang nyanyian, Atie aktif dalam lakonan dan pernah berlakon drama serta teater.

Namun, karier seni Atie mula perlahan sejak dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Saiful Annuar Baharim, 36, pada 2007.

Berbicara mengenainya, anak jati Pahang ini berkata, suami tidak pernah menghalang dia untuk terus aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan.

“Saya yang memilih untuk perlahankan kerjaya lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada rumah tangga dan keluarga.

“Apatah lagi, sebagai wanita yang sudah berkahwin semestinya saya inginkan cahaya mata. Namun, saya diberi ujian kecil. Saya perlu menunggu dengan sabar selama tujuh tahun sebelum akhirnya Allah memakbulkan doa kami suami isteri untuk memiliki cahaya mata,” katanya.

Kini, Atie dan suami bahagia bersama anak iaitu Zara Rijwani, 5, dan Yusuf Rijwan, 2.

Selesa menjadi suri rumah sepenuh masa, Atie berkata, dia perlu memberi fokus pada penjagaan dua anaknya yang masih kecil dan perlukan perhatian.

“Bukan tidak ada syarikat produksi yang hubungi memberikan tawaran berlakon, tetapi saya yang tolak kerana mahu menjaga anak.

“Minat pada seni itu masih ada termasuk rindu juga nak berlakon, cuma anak saya masih kecil. Mereka keutamaan saya.

“Lagipun, saya dikurniakan anak agak lewat. Jadi, saya sangat menghargai apa yang saya miliki sekarang dan ini pengorbanannya.

“Saya tidak kesal membuat keputusan ini kerana suami dan anak adalah amanah buat saya. Keperluan dan kebahagiaan bersama mereka lebih utama,” katanya.

Menurut Atie, satu kepuasan baginya apabila melihat anak membesar depan mata.

Sentiasa percaya rezeki ditetapkan Allah sentiasa ada, Atie berkata, dia sedia untuk aktif dalam karier seni semula apabila sampai masanya.

“Buat masa ini, saya perlu lupakan dulu dan menumpukan perhatian pada mengasuh anak yang masih kecil ini.

“Saya rela mengorbankan kerjaya untuk menjaga segala keperluan anak dan lebih seronok menjaga anak sendiri. Ini membuatkan serba sedikit dapat juga saya mengingati pengorbanan ibu ketika kecil dulu,” katanya.

Sedar bebanan ekonomi yang dihadapi memandangkan hanya suami yang bekerja, Atie berkata, dia mengamalkan hidup bersederhana.

“Apa yang paling penting keharmonian keluarga terutama segala keperluan suami dan anak sentiasa dijaga,” katanya.

Pun begitu, kerinduan Atie pada karier seni sedikit terubat apabila dia bersama 11 rakannya di AF1 menjayakan Konsert #AF1Reunion di Comedy Planet, Kuala Lumpur tahun lalu.

Pembabitan secara suka-suka dalam konsert itu memberi peluang pada Atie menyanyikan dua lagu iaitu Dag Dig Dug secara solo dan ‘medley’ Hi Hi Bye Bye.

Ketika aktif berlakon, Atie pernah membintangi drama seperti 7 Hari 7 Malam, Izinkanku Pergi, Meniti Bara termasuk berlakon teater Anak Kerbau Mati Emak arahan Meor Hashim Manap yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2004.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 3:37am
d