rap

Berhenti nyanyi sekadar gimik?

Oleh Cik Pang

Baru setahun jagung mencipta nama, Haqiem Rusli mengejutkan industri muzik apabila menyatakan hasrat mahu berhenti menyanyi.

Cik Pang terkejut memandangkan nama Haqiem kini berada di puncak. Pengikutnya bukan calang-calang ramai dan bakatnya juga diakui bagus kebanyakan penggiat industri muzik.

Menurut Haqiem, keputusan itu dibuat disebabkan masalah kemurungan yang dialaminya sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun, dia hanya akan mengumumkan status dirinya awal bulan depan.

Ikutkan kenyataan itu meragukan memandangkan ia dibuat secara tiba-tiba. Lebih meragukan Cik Pang ada juga terdengar ia sekadar gimik untuk lagu akan datang.

Jika dilihat pada komen peminat pun ada yang berpendapat sama. Tindakannya itu seakan-akan sudah boleh dibaca.

Sekiranya memang gimik, rasanya tak patutlah dibuat sampai begitu sekali apalagi ia tentu mengecewakan peminat yang menyokongnya.

Dalam pada itu, Cik Pang suka dengan teguran penyanyi senior iaitu Adibah Nor terhadap Haqiem.

Menurut Adibah, kalau minda tidak kuat nak jadi penyanyi, memang eloklah jangan masuk dalam industri muzik.

Memang betul juga terutama sekarang ini golongan artis semakin terdedah terutama dengan kewujudan media sosial.

Bukan saja masalah dalaman yang kita tidak nampak tapi mereka kena berhadapan dengan kecaman masyarakat.

Cik Pang tengok Haqiem pun tidak terlepas daripada menjadi bualan hangat termasuk hal-hal negatif. Semestinya tekanan itu cukup dirasainya apalagi berada di usia muda sekarang.

Jika benar dia mahu berundur, sayang juga disebabkan Haqiem antara pelapis industri muzik yang berpotensi besar.

Namun, jika itu adalah jalan terakhir, Cik Pang doakan yang baik-baik saja.

Cik Pang: Teringat kisah seorang rakan yang beriya-iya menjadi artis, namun nasib tidak menyebelahinya. >

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 4:29am
d