rap

Muahciked: Terkedu soalan mak cik bawang

Oleh Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca Metro Ahad yang dikasihi. Diharapkan hari minggu ini membawa 1,001 keceriaan buat anda semua.

Selamat Hari Raya Aidilfitri! Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita semua diberi kesempatan dan rezeki untuk merasai sekali lagi nikmat meraikan kemeriahan Aidilfitri.

Selepas sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu, tiba masanya kita meraikan kemenangan pada bulan Syawal ini.

Setakat ini bagaimana sambutan Aidilfitri anda? Sudah beberapa hari Aidilfitri berlangsung dan adik berharap supaya suasana perayaan anda diraikan dengan sederhana tetapi penuh kemeriahan dan kegembiraan.

Adik rasakan penting untuk kita bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Jangan lupa kawal pemakanan supaya berat badan tidak naik mendadak. Nanti terkejut kena beli pakaian baru sebab tak muat. Hahaha!

Apabila meraikan Aidilfitri, Adik yakin semua tidak sabar untuk berkunjung ke rumah terbuka sanak-saudara dan rakan bagi mengeratkan silaturahim.

Namun, dengan keceriaan yang disambut pasti ada soalan membuatkan kita terkedu dan tersentak diajukan oleh ‘mak cik bawang dan pak cik serai’.

Antara soalan cepumas bakal ditanya adalah bila nak berumah tangga? Bila nak ada cahaya mata? Kenapa gemuk? Dan banyak lagi soalan sukar untuk dijawab hingga kita sendiri berasa tidak selesa malah mahu menyorok di dapur. Haha!

Kalau ikutkan hati, mesti nak balas semula pertanyaan mereka dengan cara yang sama tapi kita seharusnya bijak dan sudah membuat persediaan mental.

Bukan apa, nanti tiadalah kita rasa sedih atau terlalu emosi. Bagi Adik, anggaplah individu yang bertanya itu sekadar mengambil berat terhadap diri kita dan mahu melihat kita bahagia.

Marah bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan hanya disebabkan satu soalan yang dianggap sensitif.

Jadi Adik harap, semua wanita atau jejaka di luar sana bersedialah dengan jawapan-jawapan hebat supaya kita sendiri bersedia berdepan ketika tiba-tiba ditanya soalan itu.

Jawablah dengan tenang dan anggap ia sebagai permulaan topik untuk bersembang. Kadang-kadang mereka tidak tahu memulakan perbualan, maka soalan paling mudah bertanya mengenai perihal peribadi.

Apapun Adik harap anda berseronok pada lebaran tahun ini. Sambil beraya mesti abang-abang teruja tengok Piala Dunia, kan?

Tak mengapa, tengoklah Piala Dunia tu, jangan tengok isteri orang pula! Nanti bukan makan kuih raya, tapi makan periuk belanga! Jangan macam-macam eh!

#BilaNakKahwin

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 4:31am
d