rap

Razqa selami makna Aidilfitri

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Sambutan Aidilfitri sentiasa menjadi ruang untuk mereka yang menyambutnya bermaaf-maafan dan melupakan segala permasalahan yang timbul.

Bagi kumpulan duo kembar, Razqa yang dianggotai Amzar dan Amsyar, Aidilfitri sentiasa dinanti saban tahun.

Menurut Amzar, pengalaman Aidilfitri yang paling memberi kesan mendalam kepadanya adalah apa yang berlaku dua tahun lalu.

“Dua tahun lalu, kami sekeluarga habiskan masa sepanjang pagi Aidilfitri dengan sesi luahan perasaan kepada semua anggota keluarga,” katanya.

Menurutnya, sebagai manusia, ada beberapa hal yang dilakukan tanpa disedari menyinggung perasaan anggota keluarga.

“Saya akan ingat sampai mati. Saya tak perlu ceritakan dengan terlalu terperinci, tapi apa yang berlaku dua tahun lalu adalah pertama kali saya melihat kedua-dua ibu bapa kami mengalirkan air mata.

“Sejak itu, saya sentiasa berpesan kepada diri saya dan adik supaya sentiasa mendapatkan restu ibu bapa dalam melakukan apa juga hal,” katanya.

Bagi adiknya, Amsyar, apa yang berlaku membuatkan hati mereka lebih tenang.

“Ketika itu, semua adik beradik kami berkumpul dan itu adalah satu benda yang jarang berlaku. Selepas meluahkan apa yang kami rasa, rasa hati lebih tenang,” katanya.

Enam tahun tidak beraya bersama keluarga membuatkan mereka kini lebih menghargai keluarga.

“Sebelum ini, ketika zaman remaja, ada beberapa hal yang menyebabkan kami tidak meraikan Aidilfitri dengan keluarga selama enam tahun.

“Tapi, takdir menemukan kami semua semula dan kembali bersatu dua tahun lalu. Kami saling bermaafan dan melupakan apa juga pertelingkahan yang pernah berlaku,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan Aidilfitri, adik-beradik berusia 22 tahun ini bercuti selama dua minggu.

“Kami akan penuhkan jadual cuti raya di beberapa lokasi iaitu Kuantan, Melaka, Perak dan selebihnya di Kuala Lumpur,” kata Amzar.

Kedua-dua mereka juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih sekali gus bermaaf-maafan dengan syarikat pengurusan lama mereka, Mixology.

“Kami sekarang bernaung di bawah pengurusan baru iaitu AKS. Di kesempatan ini, kami ingin memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada mereka di Mixology terutamanya DJ Fuzz.

“Banyak ilmu yang kami timba sepanjang bernaung di bawah syarikat pengurusan berkenaan dan kami gunakan sehingga ke hari ini,” kata Amzar.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 2:14am
d