rap

XPDC tarik diri tanpa sebab

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

IMPIAN penganjur, Dream Stage untuk sekali lagi menggandingkan dua kumpulan rock legenda, XPDC dan Cromok dalam Konsert Metal Legend 2 Live In JB di Stadium Perbandaran Pasir Gudang (PPG), Johor pada 8 September nanti tidak kesampaian.

Ia kerana tempat XPDC terpaksa digantikan dengan kumpulan Sil Khannaz.

Wakil Dream Stage, Azhar Mat Noh berkata, mereka bukan mengugurkan kumpulan XPDC sebaliknya kumpulan terbabit bertindak menarik diri tanpa sebab.

“Diikutkan kami langsung tak mempunyai masalah dengan XPDC dan setuju dengan perancangan sudah dibuat.

“Kami turut menaikkan status makluman pembabitan mereka dan Cromok dalam konsert itu di laman sosial namun dikejutkan dengan tindakan mereka yang memuat naik kembali status itu beserta penafian terbabit dalam konsert.

“Tiada sebarang makluman secara rasmi daripada pengurusan atau anggota XPDC sendiri dan ia hanya berlangsung di media sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Konsert Metal Legend Live In Concert yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada 3 Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada 5,000 peminat sehingga Dream Stage memutuskan untuk menganjurkannya di Johor pula.

Menurut Azhar, mereka bersikap positif serta akur dengan keputusan XPDC dan seterusnya mencari pengganti sesuai untuk digandingkan dengan Cromok dalam konsert ini.

“Kami buat ‘survey’ dalam kalangan peminat dan pelbagai nama kumpulan yang dicadangkan dan akhirnya bersetuju memilih Sil Khannaz yang dianggap tepat dengan konsep muzik metal.

“Peminat pula tak memberikan maklum balas negatif dengan ketiadaan XPDC dan terbuka menerima Sil Khannaz sebagai pengganti," katanya.

Sehari sebelum Konsert Metal Legend 2 Live In JB berlangsung, peminat berpeluang menyaksikan Konsert Rockstar yang menampilkan Ella dan Prime Domestic di lokasi yang sama.

Pemain gitar XPDC, Zuar berkata, mereka membuat keputusan menarik diri kerana terbabit dengan program anjuran sendiri di sebuah kelab di Pasir Gudang pada 4 Ogos.

“Program berlangsung secara eksklusif membabitkan 300 peminat. Mereka boleh menonton persembahan kami dan menikmati makanan disediakan.

“Pembabitan XPDC dalam Konsert Metal Legend bersama Cromok dahulu hanya sebagai percubaan. Untuk siri kedua, biarlah peluang diberikan kepada kumpulan lain pula.

“Kita ada ramai kumpulan heavy metal dan bukan XPDC sahaja satu-satunya yang tampil dengan genre muzik begini,” katanya dihubungi oleh Harian Metro.

Pembelian tiket dan maklumat Konsert Rockstar dan Konsert Metal Legend 2 Live In JB boleh dibuat dengan melayari www.ilassotickets.com.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 6:23pm
d