rap

'12 tahun cukuplah'

Oleh Norhayati Nordin

Tempoh 12 tahun berkhidmat di konti cukup membuatkan bekas penyampai radio Kool FM, Ikhwan Rosli, 35, puas.

Oleh itu, dia sudah menentukan hala tuju kariernya dengan memilih bergerak sendiri.

“Saya suka kerja di konti radio namun tempoh lebih sedekad itu rasanya sudah terlalu lama dan perlu cuba sesuatu yang baru.

“Apatah lagi, saya kini sudah berkeluarga dan isteri pun baru melahirkan anak perempuan kami, Nur Aiira Orked yang berusia enam bulan.

“Jadi, saya ingin luangkan lebih masa bersama keluarga kerana ketika bertugas di konti radio dulu jadual agak padat,” katanya.

Menurut Ikhwan, selama tujuh bulan dia bergerak sendiri mengatur jadual kerja boleh dikatakan ia berjalan lancar.

“Setakat ini, saya banyak dapat tawaran mengacara majlis. Selain itu, saya juga mula aktif menyanyi.

“Diakui selain menjadi penyampai radio dan mengacara, saya juga minat menyanyi serta berlakon.

“Cuma, ketika bertugas di konti radio dulu saya tidak berpeluang melebarkan sayap dalam cabang seni lain,” katanya.

Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan Rosli pernah dikenali sebagai pelakon menerusi drama Bong di TV9 pada 2009.

Melakonkan watak utama sebagai Bong, drama berkisar kekeluargaan itu ternyata berjaya melonjakkan nama dan bakat Ikhwan.

Mewarisi bakat lakonan daripada ibunya, Allahyarham Hasnah Ibrahim selain Ikhwan adiknya, Erna juga pernah menceburi karier seni.

Mengulas mengenai Erna, ujar Ikhwan adiknya itu masih berminat menyanyi dan bercadang muncul dengan single baru.

“Namun, bila masanya biarlah ditentukan Erna sendiri. Setakat ini, saya hanya mahu beri tumpuan pada karier seni sendiri.

“Ditambah lagi, saya merakamkan single duet berjudul Percaya bersama penyanyi Didi Astillah yang bergenre hip hop,” katanya.

Mengakui jiwanya sangat meminati genre muzik hip hop, Ikhwan berkata dia sangat selesa menyanyi ‘rap’ saja.

Selain Didi, Ikhwan berbakat dalam penulisan lirik juga bekerjasama dengan penyanyi lain seperti Daly Filsuf dan Dynda.

Memberitahu pembabitannya dalam karier seni bukan mahu mengejar populariti, Ikhwan berkata, dia bersyukur apabila dikenali kerana bakat.

Ikhwan bertemu jodoh dengan wanita pilihannya, Noor Idayu Mohd Shari atau Ayu, 34, pada 7 Januari 2017.

Sebelum bernikah dengan Ikhwan, Ayu ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki, Mohd Isaac Iman, 11.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 2:24am
d