rap

Muahciked: Padah gagal kawal nafsu

Oleh Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Moga pembaca ruangan ini ceria di samping keluarga tersayang. Tentu ada yang seronok menghadiri rumah terbuka.

Adik pula, macam biasa kembali sibuk bekerja. Kali ini Adik mahu berkongsi pandangan mengenai isu pembuangan bayi.

Nampaknya, masalah pembuangan bayi masih lagi membelenggu kita seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Ini semua berpunca daripada hubungan lelaki dan wanita yang tiada ikatan perkahwinan sah.

Meskipun macam-macam tindakan diambil bagi menangani isu ini termasuklah mewujudkan Yayasan Orphancare bagi menempatkan sementara bayi terbuang atau 'baby hatch', kes pembuangan bayi masih terus mencatatkan peningkatan.

Malah, rekod kelahiran anak luar nikah semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ada yang dibuang di surau atau masjid, perhentian bas dan lebih tragis di tempat pembuangan sampah atau longkang. Anak yang tidak berdosa jadi mangsa kezaliman 'ibu bapanya' sendiri

Terbaru, Adik terbaca mengenai bayi lelaki seberat kira-kira 2.6 kilogram ditemui dalam keadaan lemah di dalam mangkuk tandas di stesen minyak Hentian Rehat dan Rawat Arah Utara dekat Rawang.

Bayi lelaki berkenaan ditemui oleh penyelia pembersihan di dalam tandas wanita ketika ingin melakukan kerja pembersihan.

Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui bersama uri yang dibungkus dengan kain batik. Ketika ditemui bayi berkenaan sedar dan menangis. Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Kadangkala Adik tak faham dengan pemikiran manusia sekarang yang tergamak melakukan perkara di luar batasan tanpa memikirkan kesannya. Tergamak betul si ibu membuang bayi yang baru dilahirkan begitu saja.

Entah macam mana lagi cara terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Mungkin kegagalan manusia mengawal hawa nafsu menyebabkan keadaan ini kian meruncing.

Justeru, Adik harap setiap pasangan lelaki dan wanita mengambil langkah bijak dengan bertemu keluarga untuk berkahwin. Tak perlu glamor asalkan halal dan sah di sisi agama sudah memadai.

Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan mendidik anak-anak mereka sejak kecil kerana pada era moden ini, semua benda boleh diakses hujung jari.

Pendedahan mengenai impak pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak terbatas juga perlu diperjelaskan kepada anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan perkara bukan-bukan.

Tidak dinafikan, kadangkala pengaruh rakan boleh bawa anak-anak terjerumus dengan perkara negatif. Jadi, pantaulah pergaulan mereka. Mungkin undang-undang yang lebih berat harus dikenakan supaya masyarakat takut untuk melakukan perkara tidak sepatutnya.

Adik percaya sekiranya kita memandang serius perkara ini, permasalahan pembuangan bayi dapat dikurangkan.

Kesian Adik lihat anak yang begitu comel dibuang atau dibunuh tanpa belas kasihan. Mengapa kita harus menzalami manusia yang tidak berdosa.

Jujur, Adik sedih setiap kali membaca kisah pembuangan bayi kerana anak kecil itu tidak berdosa. Terdetik di hati kenapa bayi itu tidak diberikan kepada adik sahaja.

Adik harap sangat pihak bertanggungjawab bertindak dengan pantas menangani permasalahan ini.

Maaf andai artikel kali ini agak serius kerana Adik sangat marah apabila isu ini seakan tidak bernoktah. Anak itu anugerah Allah SWT, jadi sayangilah mereka.

#AnugerahAllah

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 6:43am
d