rap

Berkarya demi kepuasan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Mungkin ramai tidak tahu pelakon Josiah Hogan mempunyai kumpulan muzik indie dikenali sebagai Maddame yang ditubuhkan pada 2005.

Malah, band yang dianggotai bersama dua lagi rakan pernah menghasilkan dua album memuatkan lagu Inggeris.

Meski tidak dikenali dalam pasaran muzik semasa, Josiah Padilla Hogan atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 32, beruntung kerana mampu mengumpul peminat dalam kalangan penggemar muzik underground.

“Sejujurnya, saya tidak berasa ketinggalan pun untuk terus beraksi secara underground. Demi kepuasan saya dan anggota lain tetap teruskan perjuangan ini. Bukan ego untuk tidak mahu terbabit dalam pasaran komersial tetapi ia lebih kepada perasaan.

“Bagi saya, muzik indie masih ada penggemar dan orang kita tetap cari. Disebabkan itu, saya cuba buat sesuatu yang dekat di hati. Tidak dinafikan band ini pernah mendapat tawaran daripada beberapa syarikat rakaman.

“Namun, disebabkan mereka mahu muzik kami mengikut pasaran semasa, saya menolak dan memilih untuk terus bergerak sendiri. Kalau betul inginkan band kami, mereka kena ikut muzik kami,” katanya.

Malah, pembabitan di pentas Rock The World 2017 mengukuhkan lagi band mereka.

“Lagu kami lain daripada lain. Apabila sudah lama perjuangkan muzik ini, peminat juga membesar bersama muzik yang dibawakan. Malah, generasi baru lebih menghargai muzik ini.

“Biarpun kelompok peminat berubah, sokongan diberikan tidak pernah putus. Malah, hingga sekarang masih ada yang bertanya mengenai album. Ini bukti muzik yang kami bawa tidak pernah mati,” katanya.

Jarang kongsi kisah peribadi

Pada masa sama, ramai tidak mengetahui pelakon drama Cinta Jangan Pergi yang pernah popular di TV9 ini sudah memiliki tiga anak.

Anak lelaki sulungnya kini berusia 12 tahun menerusi perkahwinan pertama dan dua anak perempuan daripada perkahwinan kedua berusia empat dan dua tahun.

“Saya ada juga berkongsi mengenai anak di Instagram tetapi jarang. Bagi saya kalau tidak ada apa-apa yang menarik untuk dikongsi, saya lebih suka bersikap privasi. Kadang-kadang tidak sempat pun nak kongsi,” katanya.

Josiah yang juga pelakon filem Penanggal, Manisnya Cinta di Cappadoccia, Luqman dan KL Special Force pernah hidup menduda selama tiga gahun bermula 2010 sebelum me­ngambil keputusan berkahwin buat kali kedua pada 2013.

“Saya berkahwin kali pertama pada 2004. Namun, enam tahun selepas itu kami bercerai. Saya anggap jodoh kami tak panjang namun saya tidak pernah mengalah dalam soal perkahwinan.

“Saya kemudian mengambil keputusan berkahwin sekali lagi pada Mei 2013 dan dikurniakan dua anak. Alhamdulillah, sekarang lebih seronok sebab anak sulung tinggal bersama saya sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, anak bersama bekas isteri. Saya jenis malas nak bergaduh dalam perkara ini. Saya yakin sampai masa pasti dapat bersama anak semula,” katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, Josiah bakal muncul dalam filem KL Vampire, Antara Masa dan 7 Hari.

Selain itu, Josiah juga baru terbabit dalam drama 30 Juzuk Cinta dan Tasbih Rindu untuk siaran RTM.

Disiarkan pada: July 2, 2018 @ 11:03am
d