rap

Kian yakin layari kehidupan

Oleh Norhayati Nordin

Nama Britney Spears, 37, tidak asing lagi bagi kalangan pencinta muzik seluruh dunia.

Apatah lagi, Britney yang pernah mendapat jolokan ‘puteri pop’ pada awal kemunculannya berjaya mengekalkan gelaran itu.

Malah, populariti dikecapi ibu tunggal dua anak ini ketika zaman mudanya nyata amat mencabar.

Sepanjang dua dekad kembara seni Britney, pelbagai kisah manis, pahit dan memilukan dicatat.

Sekalipun masih ligat di pentas nyanyian, kehidupan peribadi Britney bersama anak lelakinya amat menarik perhatian.

Apatah lagi baru-baru ini anak kedua Britney, Jayden James, 11, memuat naik rakaman video lucu untuk bergurau dengan ibunya.

Video dimuat naik dalam Instagram Britney itu dirakam oleh James menggunakan telefon ibunya tanpa disedari.

“Saya hanya menyembunyikan telefon ibu ketika dia lupa dan terus keluar untuk membeli-belah.

“Ibu masih tak sedar saya mengambil telefon ini untuk menakutkannya,” katanya di hadapan kamera.

James kemudian mendekati Britney dari pintu biliknya sambil berjalan dan berteriak mengejutkan penyanyi itu.

Bagaimanapun, Britney yang pernah popular dengan lagu Baby One More Time dan Oops!... I Did It Again itu tidak terkejut.

Sebaliknya, Britney berkata pada anaknya gurauan dibuat itu tidak lucu. Namun, dia tersenyum apabila melihat anaknya ketawa.

Rakaman gurauan sebegitu bukan yang pertama buat Britney kerana dia pernah dikenakan anak sulungnya, Sean Preston, 12.

Melihat kebahagiaan keluarga kecil Britney, ramai peminat memberikan komen positif.

Ternyata, Britney dilihat semakin yakin melayari kehidupan di samping anaknya.

Malah, sikap ceria James bergurau dengan ibunya membuatkan banyak pihak berpendapat anak itu akan mempunyai masa depan yang cerah.

Selain mewarisi bakat nyanyian Britney, James juga ada tarikan untuk membina karier dalam dunia komedi.

James dan abangnya, Preston, cahaya mata hasil perkahwinan Britney bersama bekas suami, Kevin Federline pada 2004 sebelum bercerai sekitar 2007.

Beralih perkembangan karier nyanyian, Britney kini sibuk dengan siri konsert jelajah The Britney Spears: Piece of Me Tour. Bermula Januari lalu, siri persembahan hebat Britney di seluruh Amerika Utara dan Eropah itu dijangka berakhir Julai ini.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 12:42pm
d