rap

'Watak tu biarlah ada jurang umur'

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Faizal Hussein, 51, mengakui dia tidak kisah melakonkan watak bapa asalkan bukan kepada anak yang lebih matang dan berusia.

Katanya, ini kerana dia bimbang sukar melakonkan watak itu dengan baik berikutan umur bapa dan anak yang tidak jauh berbeza.

“Setakat ini, saya tidak pernah lagi menolak tawaran melakonkan watak bapa. Namun, tetap peka pada tawaran diterima.

“Biasanya, saya akan teliti tawaran dan memastikan usia pelakon yang akan menjadi anak saya adalah kanak-kanak atau remaja.

“Secara tidak langsung, saya akan pastikan usia mereka tidak jauh beza dengan dua anak saya iaitu Fazryn, 13, dan Fazrick, 10,” katanya.

Faizal berkata, dia tidak berniat untuk ‘demand’ apabila enggan berlakon sebagai bapa kepada anak sudah berusia.

“Saya sedar usia saya pun sudah mencecah 50-an dan watak bapa itu memang wajar untuk dilakonkan.

“Dengan status bapa kepada dua anak lagi, tiada sebab untuk saya menolak watak itu jika ditawar melakonkannya.

“Cuma, sebagai pelakon saya harus memastikan watak individu yang akan menjadi anak saya itu sesuai.

“Ia penting, bagi memastikan watak di antara bapa dan anak itu nampak serasi dan tidak kekok,” katanya.

Terdahulu, Faizal hadir pada sesi fotografi mempromosikan filem terbarunya, Kalla.

Sebagai pelakon berkaliber sepanjang tiga dekad lalu, lakonan Faizal tidak pernah menghampakan penonton.

Bakat lakonan hebat itu diwarisi daripada ibu bapa, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail.

Bertemu jodoh dengan pelakon Suhaila Sulaiman pada 2004, Faizal turut dikenali sebagai pelakon filem aksi.

Pada 2012 lalu, Faizal dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi filem Bunohan arahan Dain Said.

Disiarkan pada: July 3, 2018 @ 7:06pm
d