rap

'Sedia ajar lakonan kaedah pondok'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON serba boleh, Wan Hanafi Su, 68, membuka peluang kepada mereka berminat untuk mendalami ilmu lakonan menggunakan kaedah pondok.

Menurutnya, dia tidak mahu membuka kelas lakonan berbayar kerana lakonan bukanlah sesuatu boleh didalami dalam masa yang singkat.

“Saya buka peluang ini sejak tiga ke empat tahun lalu, namun tidak ada yang datang berjumpa dan berminat menyertai.

“Saya gunakan kaedah pondok. Ertinya, mereka datang, duduk dengan saya sekurang-kurangnya seminggu, makan apa saya makan dan dari situ, saya akan beri tunjuk ajar selok belok lakonan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wan Hanafi, tidak ada bayaran dikenakan selain daripada untuk makanan dan sebagainya.

“Kalau ada gunakan wang pun, untuk kita sama-sama kongsi beli makanan. Tak wajar buat saya meletakkan harga yuran terlalu tinggi kerana saya tahu, mustahil untuk saya keluarkan sijil,” katanya.

Tambahnya, dia pernah terbaca mengenai kelas lakonan yang yuran penyertaannya untuk sehari mencecah RM450.

“Ilmu lakonan tak mungkin dapat dipelajari dalam tempoh sehari. Harga yuran mencecah RM450 pada saya terlalu mahal.

Wan Hanafi adalah antara pelopor menjadi tenaga pengajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) sebelum ditukar nama kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Dia kemudian bertukar karier dan mula serius sebagai pelakon menerusi pentas teater, TV dan filem.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 3:35pm
d