rap

Saya mahu berhijrah - Iqram Dinzly

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS lapan bulan berperangai pelik pelakon Iqram Dinzly akhirnya berjaya kembali kepada kehidupan yang lebih normal.

Iqram berkata, dia kembali mencari diri pada akhir 10 Ramadan lalu selepas menyedari tindakan sebelum ini memberi kesan negatif terhadap diri, keluarga serta kerjaya.

"Saya sedar ada mengatakan saya sudah tidak siuman selain pelbagai cacian diterima sebelum ini.

"Saya akui sejak arwah bapa pergi, saya terjebak masuk dalam dunia yang saya cipta sendiri namun dapat kembali bermuhasabah diri pada 10 malam terakhir Ramadan lalu.

"Saya akan cuba meninggalkan perkara lama dan berusaha menjadi seorang individu yang lebih baik," katanya.

Menurut Iqram, dia memaafkan setiap kata-kata netizen yang mengecamnya meskipun sukar menerima jika mereka menyentuh perihal ibu bapa.

"Saya memaafkan kejian netizen selama ini tetapi saya tidak dapat menerima jika mereka menyentuh hal berkaitan ibu bapa.

"Saya sudah tidak mahu mengulangi kerja 'gila' yang pernah saya lakukan dahulu. Saya sudah bersedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.

"Lagipun kali terakhir saya berlakon menerusi drama bersiri Cinta 11 Syarat pada tahun 2016. Selepas itu, saya menjaga arwah bapa yang terlantar sakit," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2018 @ 4:09pm
d