rap

Seungri berniaga akibat diperlekeh

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!!! Anggota BIGBANG iaitu Seungri antara nama besar dalam industri hiburan K-Pop. Bukan saja dikenali kerana bakat tetapi juga berjaya sebagai ahli perniagaan.

Dalam tempoh lima tahun, dia sudah memiliki lebih 40 cawangan restoran ramen Jepun. Selain itu, dia turut memiliki kelab malam terkenal dan syarikat rakaman usaha sama dengan YG Entertainment.

Tidak ramai selebriti berjaya dalam dunia perniagaan seperti Seungri. Kebanyakan mereka gagal kerana tidak dapat menyeimbangkan komitmen sebagai selebriti dan ahli perniagaa.

Setakat ini Seungri berjaya mengekalkan momentumnya sebagai anggota termuda BIGBANG dan bijak menguruskan bisnes.

Dalam satu temu bual, Seungri mendedahkan antara sebab dia menceburi dunia perniagaan adalah kerana tidak tahan diperlekehkan peminat kerana statusnya sebagai ahli termuda kumpulan tersohor itu.

“Saya percaya dengan naluri saya. Perniagaan adalah satu bidang yang boleh saya teroka tanpa perlu bersaing dengan anggota lain,” katanya.

Menurutnya, populariti yang diraih sangat membantunya dalam mengembangkan perniagaan.

“Mudah untuk mempromosikan perniagaan apabila kita dikenali. Tak perlu keluarkan banyak duit kerana kita adalah bahan utama promosi.

“Untuk membuka cawangan di luar Korea pun agak mudah selain cepat menjadi jenama global. Saya mencari rakan kongsi yang akan mendapat faedah daripada kuasa populariti saya.

“Bagaimanapun, pada masa sama ia menakutkan kerana ramai pesaing cuba mencari kelemahan saya,” katanya.

Banyak yang dipelajari Seungri dalam membangunkan empayar perniagaan dan menasihati ahli perniagaan lain agar tidak bersikap tamak. Selepas gagal dalam bisnes hartanah dan elektronik, dia sedar perlu fokus pada bidang yang diyakini akan berjaya.

“Saya tidak akan membabitkan diri dengan bisnes hartanah dan elektronik lagi. Dua perniagaan ini bukan kemahiran saya.

“Misi saya sekarang adalah memantapkan perniagaan yang diusahakan. Saya mahu cari duit yang cukup untuk membantu ibu bapa, makan sedap, boleh melancong pada bila-bila masa, menjadi suami dan bapa terbaik satu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 12:26pm
d