rap

Bahana leka melayan gajet

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Keupayaan Kyoll Hamzah memberikan hasil terbaik dalam kerja pengarahannya menerusi drama Meh Sandar Lagi, Panggilan Subuh, Dan Aku Jatuh Cinta dan Lara Intan Di Hati Laila membuatkan dia terus menjadi pilihan penerbit bagi mengarahkan drama terbitan mereka.

Kyoll kini tampil dengan siri drama Cinta Maya terbitan Bright Network yang menemui penonton menerusi TV1 setiap Jumaat hingga Ahad jam 7 malam bermula 29 Jun lalu dan akan berakhir 27 Julai ini.

Drama yang diilhamkan daripada kisah benar dalam masyarakat ini menampilkan pelakon antaranya Yana Samsudin, Afiq Muiz, Beego, Nazeera Sardi, Zarina Zainuddin dan Wan Nor Azlin.

Kyoll berkata, sebagai pengarah dia amat berpuas hati dapat mengarahkan karya menarik yang sememangnya berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Cinta Maya bukanlah rekaan semata-mata kerana setiap manusia tak terlepas daripada menggunakan gajet yang canggih dalam kehidupan seharian.

“Bagaimanapun, ada yang terleka apabila melayaninya sehingga menimbulkan masalah dalam hubungan kekeluargaan.

“Inilah inti pati yang ditampilkan oleh penulis skripnya dan bagi saya ia satu idea yang bijak,” katanya.

Menurutnya, mengarah cerita berdasarkan realiti amat menyeronokkan kerana ia mempunyai jiwa dan simbolik tersendiri.

“Cinta Maya tampil dengan realiti kehidupan. Ada manusia terlupa status sebenar apabila leka melayan keseronokan di telefon dan gajet.

“Oleh itu, cerita ini secara tak langsung mengajar penonton supaya mengunakan alat canggih ini dengan lebih bijak dan berhemah,” katanya.

Kyoll amat berpuas hati dan bersyukur apabila penerbit memberikan barisan pelakon yang kuat untuk berlakon dalam siri drama ini.

“Yana, Afiq, Nazeera, Beego, Zarina dan Wan Nor Azlin berjaya menampilkan lakonan yang baik dan mewarnai cerita ini.

“Gabungan baru dan lama ditampilkan dalam Cinta Maya menuntut saya lebih kreatif untuk mengadunkan semuanya bagi menghasilkan cerita yang mantap.

“Boleh dikatakan pakej yang ada cukup lengkap. Bahkan kebebasan diberikan penerbit memudahkan saya melahirkan idea kreatif dalam Cinta Maya,” katanya.

Kyoll juga melahirkan penghargaan terhadap krunya kerana turut membantu dalam merealisasikan Cinta Maya.

“Diakui saya berpuas hati dengan hasil kerja dalam Cinta Maya. Namun, sebagai pengarah saya sentiasa inginkan cabaran. Saya masih dahagakan naskhah berat yang hebat untuk divisualkan,” katanya.

Sinopsis

Cinta Maya mengisahkan pasangan suami isteri iaitu Shamsul, seorang arkitek dan isterinya, Hashimah yang bertugas sebagai doktor mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Adreena berusia 8 tahun.

Shamsul seorang yang suka berjenaka, ‘happy go lucky’ dan mudah disenangi sesiapa saja. Berbeza dengan isterinya, Hashimah seorang yang berperwatakan lembut, penyayang dan penyabar. Rumah tangga pasangan ini amat bahagia.

Bagaimanapun, semuanya mula berubah apabila Shamsul menyertai kumpulan WhatsApp rakan sekelasnya semasa di sekolah menengah. Turut berada dalam kumpulan itu ialah bekas kekasihnya, Wan Alina.

Mereka sebenarnya sama-sama melangkah ke universiti sehinggalah akhirnya berpisah pada tahun terakhir di sana.

Wan Alina seorang usahawan yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan berkaitan dengan rawatan dan produk kecantikan.

Perniagaannya yang semakin maju secara tidak langsung menimbulkan masalah dengan suaminya, Zainudin yang bekerja sebagai jurutera kilang elektronik. Semakin hari mereka kian renggang sehingga tiba kepada proses untuk bercerai.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 12:34pm
d