rap

'Rezeki menyanyi mencurah-curah di Filipina'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PENYANYI mencipta nama di Filipina, Min Yasmin, 30, mengakui jemputan menjayakan persembahan di negara itu semakin 'kencang' sejak kebelakangan ini.

Dia yang popular di negara terbabit menerusi lagu duet bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacalod berjudul Sa Iyo pada 2015, mendapat jemputan membuat persembahan hampir setiap hari dengan lima ke tujuh persembahan seminggu.

"Saya bukan saja mendapat jemputan persembahan majlis perkahwinan. Malah majlis pertunangan dan merisik pun mereka akan jemput artis menyanyi.

"Ia bagaikan tradisi membanggakan buat masyarakat sana menunjukkan kelebihan dan 'kekayaan' tuan rumah apabila menjemput artis membuat persembahan pada majlis mereka," katanya kerap memenuhi jemputan di Selatan Filipina.

Tanpa berselindung, Min, isteri kepada komposer, Julfekar berkata setakat ini pendapatan diperolehi melalui persembahan di sana sangat lumayan.

Min ditemui pada majlis rumah terbuka Pencil Pictures & Records, semalam, berkata ada tuan rumah sanggup menawarkan bayaran sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 bagi menghiburkan tetamu hadir.

Pun begitu, dia tidak berhasrat terus menetap di negara itu walaupun sering berada di Filipina untuk tempoh lama.

Buat masa ini, dia dan suami merancang mengadakan konsert bertaraf mega di negara itu sebaik album terbaru mengandungi 14 lagu Inggeris dan Tagalog siap sebelum penghujung tahun ini.

Disiarkan pada: July 5, 2018 @ 6:14pm
d