rap

Monodrama Eksistensi Jiwa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Peminat teater berpeluang menyaksikan persembahan genre monodrama berjudul Eksistensi Jiwa yang akan berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL), Jalan Tun HS Lee, jam 8.30 malam ini dan esok.

Eksistensi Jiwa 4 Monodrama adalah antara acara yang terkandung di dalam program Semarak Seni Budaya Interaksi Seni Siri 1 anjuran JKKN.

Monodrama ialah lakonan solo lengkap diiringi susunan prop dan set untuk membantu menguatkan lagi per­kembangan lakonan yang bersedia dengan konflik dan peleraiannya.

Secara mudahnya, monodrama bermaksud hanya seorang pelakon akan melakonkan secara sendirian beberapa watak dalam pelbagai emosi bagi menyampaikan pergolakan dalaman yang berlaku.

Projek ini buat pertama kalinya dikelolakan Persatuan Seni Ceritera yang bekerjasama dengan Persatuan Titian Teater Ilham Seni atau lebih dikenali dengan nama Titis.

Pengarah Projek Eksistensi Jiwa Khusairi Mahyuddin atau lebih dikenali dengan nama Boss Fendy berkata, dia pernah mementaskan empat monodrama yang digabungkan menjadi dua cerita dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan peminat teater tanah air.

“Kali ini saya ingin membuat satu lagi persembahan monodrama yang mewakili empat naskhah terbaik yang dipilih untuk ke pentas dan bergabung di bawah satu tajuk iaitu ‘Eksistensi Jiwa’ di mana di dalamnya terkandung pelbagai cerita berkaitan kejiwaan dan untuk menekankan maksud eksistensi itu sendiri iatu kewujudan atau ada.

“Pemilihan naskhah dan pelakon pula bukannya calang-calang kerana dinilai berdasarkan pengalaman dan kejayaan mereka sebelum ini,” katanya.

Barisan pelakon terbabit ialah Azerai Azmi yang pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Selangor 2015 menerusi teater Jalan Mati, Milyana Arshad, seorang pelakon teater dan penulis skrip untuk beberapa naskhah terkenal seperti Bangsawan Awang Kudis Buta dan Cikgu Moh Azam Rezali dari Sarawak iaitu penulis skrip Jalur-Jalur Padang Ilalang yang pernah menjadi johan Sayembara Monodrama Kebangsaan serta Johan Festival Teater Kuala Lumpur kategori monodrama selain merangkul beberapa lagi anugerah.

“Ketiga-tiganya adalah nama yang tak asing lagi dalam dunia teater tanah air kerana minat dan bakat semula jadi mereka dalam bidang ini.

“Selain itu, seorang pendatang baru dunia teater dan juga seorang guru silat dari Persatuan Gayong Maarifat yang cukup dikagumi ramai iaitu Pangiran Satria Aduka turut ditampilkan dan dijangka menarik lebih ramai peminat untuk hadir dengan berbusana lengkap bagi memeriahkan acara sepanjang monodrama ini berlangsung,” katanya.

Persembahan selama dua jam ini akan dimulakan oleh Azerai sebagai pembuka tirai dengan naskhahnya yang bertajuk Ayah.

Kemudian diikuti dengan naskhah Sup Lidah Ayam dari Milyana dan persembahan ketiga pula dari Cikgu Moh Azam dengan nas­khah Jalur-jalur Padang Ilalang.

Persembahan kemuncak yang ditunggu-tunggu peminat teater dalam kalangan pesilat tanah air ialah penampilan Pangiran Aduka dengan naskhah Waris Alang yang ditulis dan diarahkan Sharul Titis.

Bayaran RM20 dikenakan untuk menonton dan pas masuk boleh didapati di pintu masuk pada hari persembahan.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 10:42am
d