rap

Tonton filem 24 jam

Oleh Ramlah Zainal

Saluran filem 24 jam pertama iaitu Dunia Sinema (saluran 128) yang boleh ditonton melalui HyppTV bukan saja menyajikan filem terbaik tempatan tetapi juga filem hebat dari negara Asia lain seperti Indonesia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG) David Teo berkata, sebagai pengendali saluran, pihaknya bertanggung­jawab menyediakan kandungan filem tempatan untuk saluran Dunia Sinema sejak empat tahun lalu.

“Ia membabitkan 151 filem terbitan MIG yang lama dan baru. Kami juga mengutamakan filem tempatan sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai penerbit filem lain untuk membekalkan filem mereka sama ada baru atau lama ditayang­kan menerusi saluran ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran saluran filem 24 jam pertama - Dunia Sinema oleh Unifi TV di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden, Perniagaan & Operasi Media, Telekom Malaysia Berhad (TM) Emily Wee.

Mengulas mengenai saluran filem 24 jam Dunia Sinema, David mengakui ia impiannya sejak dulu.

“Sebenarnya, kami sudah memulakan saluran filem berbahasa Melayu ini di Singapura tujuh tahun lalu. Dulu ramai yang menganggap saya menghasilkan filem sampah dan merosakkan industri filem.

“Namun, mereka tidak sedar apabila menerbit­kan banyak filem, saya juga memberi peluang pekerjaan dan industri filem berkembang sekali gus mencapai impian menjadikan saluran khusus untuk filem tempatan.

“Akhirnya, impian untuk menjadikan saluran filem tempatan seperti saluran HBO tercapai menerusi saluran filem 24 jam Dunia Sinema ini,” katanya.

Ditanya kos untuk pembelian filem dari dalam dan luar negara pula, kata David, buat permulaan ia membabitkan peruntukan RM5 juta.

“Kami masih dalam proses membeli lebih banyak filem hebat dari Indonesia, Vietnam, Thailand dan Korea Selatan.

“Filem yang masih baru ditayangkan di pawagam juga mahal dan ada penerbit filem tempatan turut meletakkan harga tinggi untuk filem mereka serta di luar kemampuan produksi,” katanya.

Antara filem tempatan yang boleh ditonton di saluran Dunia Sinema ialah Pekak, Ophilia, Adnan Sempit, Wawa Semput, Mendam Berahi dan Mat Moto.

Filem popular dari Indonesia pula seperti Ketika Cinta Bertasbih dan Dalam Mihrab Cinta.

Tidak ketinggalan, filem popular dari Thailand seperti Suddenly 20, May Who? Ghost Ship, The Couple yang boleh ditonton dengan sari kata bahasa Malaysia.

Istimewa sepanjang bulan ini, pelanggan juga boleh menonton filem hebat tempatan seperti Isteri Untuk Dijual, Abang Lejen, Nasi Tangas, Black Maria, Driving School dan Make Me Shudder 2.

Sebelum ini, saluran berkenaan ditawarkan sebagai saluran atas permintaan (VoD) di Unifi TV, Dunia Sinema kini boleh ditonton 24 jam tanpa henti sebagai salah satu saluran filem linear.

Ia boleh dilanggan menerusi Pek Aneka dan Pek Ultimate dengan hanya RM9 sebulan.

Dunia Sinema kerjasama antara perkhidmatan IPTV TM dengan MIG melalui platform HyppTV.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan beberapa artis popular antaranya penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, Datuk Ayu Puteh, Ahmad Idham, Suffian Suhaimi dan artis di bawah nau­ngan syarikat produksi MIG.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 10:51am
d