rap

Debaran A Aida

Oleh HM Digital

Cik Pang tumpang gembira dengan perkhabaran penerbit terkenal Datuk A Aida, 47, akan berkahwin dengan kekasihnya, pelakon Ariff Aziz, 29, tidak lama lagi.

Aida yang kini sibuk dengan penggambaran filem pertamanya, Ratu Kala Jengking dilamar Ariff dalam suasana penuh romantis di sebuah restoran Arab di ibu kota, malam Rabu lalu.

Sebelum ini, Cik Pang sudah menghidu kemesraan Aida dengan Ariff yang pernah berlakon drama Isteri Untuk Diiktiraf tetapi memilih untuk mendiamkan diri sehinggalah pasangan ini sendiri buka mulut bercerita kepada masyarakat.

Detik itu akhirnya tiba juga apabila Ariff menyerahkan sebentuk cincin berlian sebagai simbolik lamaran sebelum mereka melangsungkan pernikahan.

Menerusi video yang Cik Pang tonton, lamaran itu diiringi petikan gitar rakan baiknya, Faizal sambil menyanyikan lagu Surat Cinta Untuk Starla.

Daripada apa yang Cik Pang nampak, pasangan ini amat sepadan dan serasi bersama. Cik Pang percaya Ariff sangat menyintai Aida sehinggakan sanggup buat keputusan ini.

Jangan persoalkan perbezaan usia di antara mereka kerana cinta sebenarnya tidak kenal siapa, usia dan sebagainya. Paling penting Ariff masih bujang dan bukan hak sesiapa.

Daripada berhasad dengki dan berburuk sangka, ada baiknya kita mendoakan impian mereka untuk bergelar suami isteri jadi kenyataan.

Cik Pang difahamkan majlis nikah akan berlangsung tidak lama lagi dan majlis resepsi pula tahun depan iaitu sempena hari jadi Aida pada 20 April.

Cik Pang: Seronok lihat rakan-rakan disatukan sebagai suami isteri.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:11am
d