rap

Selamba di kampus

Oleh Ardini Sophia Sina

Tampil dengan lagu Antidot Lara, penyanyi baru, Ray Asri sedikitpun tidak terasa status sebagai anak seni menghalangnya untuk bergaul mesra dengan mahasiswa lain di tempatnya menimba ilmu.

Kata jejaka berusia 22 tahun ini, tidak ada sebab untuk berasakan dirinya hebat walaupun ada antara sahabatnya tahu dia membina nama di persada seni suara tanah air.

“Ada yang tahu saya cuba mengejar impian sebagai penyanyi dan sudah mempunyai lagu sendiri tetapi ada juga yang tidak tahu. Saya buat biasa saja. Tidak ada sebab untuk mendabik dada.

“Buat apa mendabik dada apabila bergelar penyanyi? Ia sama seperti karier lain. Semua punya kelebihan masing-|masing. Rakan di universiti juga ada kemahiran tersendiri. Bagi saya, semua orang sama saja,” katanya.

Anak muda yang mesra disapa Ray ini percaya, bakat yang ada pada dirinya mampu memberikan ruang untuk berdiri kukuh sebagai penyanyi berkaliber suatu hari nanti.

Dalam usaha mencapai impian, Ray mengikuti kelas vokal bagi terus memperbaiki dan meningkatkan mutu suaranya. Dia berusaha mempersiapkan diri agar dapat menyanyikan semua genre lagu.

“Rasa percaya pada diri sendiri perlu ada kerana ia akan membantu ketika menyampaikan sesebuah lagu. Namun, jangan terlebih yakin.

“Dengan bakat yang ada saya percaya boleh pergi jauh dalam bidang ini tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari. Menjadi penyanyi yang baik tidak hanya setahun dua, ia memerlukan masa yang lama bagi menggilap bakat,” katanya.

Bercerita mengenai Antidot Lara, Ray berkata, dia rancak mempromosikan lagu itu dan mencari material lebih baik untuk single seterusnya.

“Saya masih mempromosikan lagu ini sambil mencari material untuk single kedua. Setakat ini, saya puas hati dengan maklum balas pendengar.

“Mereka memberi reaksi positif tidak hanya kepada keseluruhan lagu, juga cara nyanyian saya. Terima kasih atas dorongan dan saya janji akan lebih berusaha,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 6:11am
d