rap

Hati Faizal rapuh

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun dianggap pelakon aksi tanah air yang hebat, hati Faizal Hussein, 51, tetap rapuh apabila menghadapi perkara membabitkan anak.

Itulah yang diakui pelakon berpengalaman luas ini apabila berbicara mengenai keluarganya.

Pelakon filem Dukun ini berkata, dia sangat rapat dengan dua anaknya, Fazryn, 13, dan Fazrick, 10.

“Keluarga saya kecil, ada seorang isteri dan dua anak. Malah, sejak lahir hingga kini, anak-anak membesar di depan mata saya,” katanya.

Jadi, apabila Fazryn memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Negeri Sembilan, Februari lalu, hati Faizal agak pilu.

“Agak memilukan apabila kini perlu berjauhan dengan Fazryn. Ketika menghantarnya ke MRSM, memang agak sedih,” katanya.

Walaupun bersikap terbuka berkongsi cerita pengalamannya itu, ia dianggap kenangan kurang manis pernah berlaku.

“Sebenarnya saya ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan ketiadaan Fazryn tidak tinggal serumah dengan kami lagi.

“Saya perlu akur dengan rezeki Fazryn mendapat peluang melanjutkan pelajarannya di sekolah berasrama penuh.

“Demi masa depan Fazryn juga dan sebagai bapa sudah tentu saya memang inginkan yang terbaik untuk masa depannya. Doa saya semoga Fazryn berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Menurut Faizal, kini setiap kali dia ada masa terluang pada hujung minggu, ia menjadi rutin buatnya dan keluarga melawat Fazryn di MRSM.

Berbicara mengenai perkembangan kerjaya lakonannya, Faizal berkata, dia akan muncul dalam filem terbaru Kalla tidak lama lagi.

Melakonkan watak Dr Ezahar, seorang pakar sejarah sangat mencabar. Ia juga adalah pengalaman baru buat Faizal.

“Kalla bergenre aksi yang membawa saya keluar dari zon selesa. Dalam filem ini, saya sangat diuji dari segi mental dan fizikal.

“Apapun, berbekal pengalaman lebih tiga dekad saya sebagai pelakon, ia memang banyak membantu,” katanya.

Kalla turut menggandingkan Faizal dengan barisan pelakon berbakat tanah air yang lain seperti Azhan Rani, Vanidah Imran, Zaidi Omar, Riz Amin dan Adam Shahz.

Apa yang pasti, bakat lakonan mantap itu diwarisi Faizal daripada ibu bapa, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail.

Bertemu jodoh dengan pelakon Suhaila Sulaiman pada 2004, Faizal memang sangat dikenali sebagai pelakon filem aksi yang berjaya kerana lakonannya tidak pernah menghampakan penonton.

Pada 2012 lalu, Faizal pernah dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) menerusi filem Bunohan arahan Dain Said.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:57pm
d