rap

Doakan anak saya sembuh - Kimal

Oleh Amirul Haswendy Ashari

“ESOK adalah penentu,” luah vokalis kumpulan Margasatwa, Akmal Hakim atau Kimal ketika ditanya keadaan anak perempuannya, Pushpa, tujuh bulan yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang (VSD).

Kimal dihubungi berkata anaknya akan menjalani pemeriksaan lanjutan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada dia akan dibedah segera.

“Keadaannya sekarang stabil, cuma bergantung kepada ubat. Pegawai perubatan juga akan cuba menaikkan berat badannya sebelum di bawa ke IJN, esok.

“Tujuan pemeriksaan adalah untuk mengetahui sebesar mana lubang di jantung atau ada masalah lain,” katanya, kini berada di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, jika berat badan anak tunggalnya itu naik, ia akan memudahkannya menjalani pembedahan.

Kimal bersyukur sejak berita mengenai anaknya tular, jumlah sumbangan diterima setakat ini mencecah lebih RM10,000.

Pun begitu, jumlah itu belum mencukupi kerana kos keseluruhan mencecah RM35,000.

“Saya sedar ada banyak cara mendapatkan bantuan, malah di IJN juga ada tabung bantuan selain yayasan tertentu tetapi saya percaya ramai lagi pesakit yang memerlukannya,” katanya.

Katanya, dia akan cuba memohon mendapatkan tabung bantuan daripada IJN yang hanya boleh menampung sebahagian sahaja kos keseluruhan.

Katanya lagi, dengan rendah diri, dia mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang akan digunakan untuk menampung kos rawatan sebelum dan selepas pembedahan.

Bagi siapa yang ingin membantu, mereka boleh salurkan ke akaun CIMB 7049493386 atas nama Mohd Akmal Hakim Mokhtar.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 4:21pm
d