rap

Inspirasi dari ayah buat PM - Aizat

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI dan komposer, Aizat Amdan mengakui single Harapan Jadi Nyata adalah inspirasi dari ayahnya, Datuk Amdan Mat Din, 61, sebagai penghormatan kepada pemimpin idolanya iaitu Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Aizat, jika ayahnya tidak terlantar sakit pasti dia aktif menyokong kepimpinan Perdana Menteri ketika ini.

"Semuanya bermula selepas ayah bersara dan mula menulis luahan hati pada idolanya, Dr Mahathir.

"Bukan saja ayah memiliki semua buku biografi mengenai Dr Mahathir tetapi dia akan menyelitkan pemimpin idolanya itu dalam apa topik sekalipun.

"Ayah juga yang memaksa saya untuk mencipta melodi sehingga terhasilnya single Harapan Jadi Nyata ini," katanya.

Aizat berkata, dia percaya, ayahnya pasti akan berasa gembira dan bangga bila melihat kepimpinan Dr Mahathir sekarang.

"Sayangnya, ayah kini terlantar sakit hampir setahun lalu kerana penyakit angin ahmar," katanya.

Aizat berkata di majlis bersama media dan single Harapan Jadi Nyata di pejabat Warner Music Malaysia di Mutiara Damansara, hari ini.

Mengulas kesihatan ayahnya pula, kata Aizat, ayahnya sudah tidak boleh bercakap dan hanya terlantar di rumah.

"Di peringkat awal dulu, saya memang sedih dan tidak boleh terima bila melihat keadaan ayah terlantar sedemikian.

"Walaupun ada jururawat menjaga di rumah tetapi saya dan adik beradik tetap menjaga ayah mengikut giliran.

"Ayah pernah berada dalam kritikal sebelum ini tetapi semangatnya cukup kuat melawan penyakitnya itu.

"Kini, saya sudah boleh terima penyakitnya itu dan sebagai anak pastinya saya berdoa semoga ayah kembali sembuh," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 8:26pm
d