rap

Azizzul Haqim gapai impian

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Impian Azizzul Haqim untuk memiliki lagu tradisional menjadi kenyataan apabila single pertama berjudul Pemimpi dikeluarkan pada Mei lalu.

Lagu ciptaan Ijan Perkusi dan lirik Che Kem ini sarat dengan konsep fusion Irama Malaysia serta diberikan suntikan muzik Arab.

Azizzul atau nama sebenarnya Azizzul Haqim Md Anuwar, 28, lega kerana perjuangannya untuk mengangkat genre muzik tradisional semakin membuahkan hasil.

“Saya memang cintakan genre ini sejak dahulu lagi. Biarpun golongan muda kurang menggemari dan tak mahu mempertahankannya, saya nekad mahu mengembalikan semula kegemilangan irama tradisional seperti pernah dilakukan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris sekitar tahun 90-an.

“Bukan mudah merealisasikan hasrat itu tetapi saya tak boleh mengalah selagi belum mencuba. Kemenangan sebagai juara kategori Irama Malaysia program 3 Juara di TV3 tahun lalu menguatkan lagi semangat saya,” katanya.

Usahanya untuk mengangkat muzik tradisional diperlihatkan apabila Azizzul sanggup mengeluarkan modal sendiri bagi menghasilkan single itu.

“Saya tak boleh buang masa menanti peluang datang bergolek depan mata kerana faham situasi genre ini yang semakin terpinggir.

“Sebagai orang baru, saya selalu merujuk kepada komposer terkenal Pak Ngah,” katanya.

Selain Malaysia, Azizzul turut mencuba nasib di negera jiran Indonesia apabila menyertai program Dangdut Academy Asia 3 (DAA3) akhir tahun lalu.

Usahanya itu membuahkan hasil apabila memperoleh gelaran Juara 5 Dangdut Academy Asia 3.

“Alhamdulillah, saya diterima baik peminat di sana. Berbeza dengan Malaysia, peminat Indonesia begitu menyanjung tinggi penyanyi yang boleh menyanyikan lagu-lagu tradisional.

“Muzik Melayu jadi perhatian dan dilabel sebagai muzik yang ada ‘kelas’ dan sehingga sekarang saya masih diundang menjayakan persembahan di Indonesia,” katanya.

Azizzul berkata, single Pemimpi asalnya turut dirancang dipasarkan di Indonesia namun terpaksa menukar fikiran kerana peminat di sana lebih menggemari genre dangdut.

“Saya juga berdepan masalah mendapatkan label syarikat rakaman yang sesuai untuk memasarkan single ini dan akhirnya memilih syarikat Malaysia.

“Bagaimanapun, impian untuk menembusi pasaran negara jiran tetap ada dan perbincangan sudah dibuat dengan pihak di sana.

“Kami sudah mencapai kata sepakat dengan menandatangani kontrak selama setahun untuk saya bertapak di sana,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 12:57pm
d