rap

Cinta dua darjat

Oleh Michelle Gun

Selepas Goblin: The Lonely and Great God tamat awal tahun lalu, peminat mengharapkan penulis Kim Eun Sook dapat meneruskan kisah drama romantis fantasi popular Korea Selatan itu.

Bagaimanapun, penulis memaklumkan tiada perancangan untuk menambah episod baru atau musim kedua Goblin dan mahu fokus menghasilkan skrip drama baru.

Setahun sudah berlalu, akhirnya projek yang diberi judul Mr Sunshine itu sudah selesai dan kini bersiaran di aplikasi penstriman Netflix.

Berbeza dengan karyanya sebelum ini, penulis itu memilih untuk mengetengahkan kisah percintaan antara dua individu daripada darjat berlainan pada awal abad ke-19.

Menariknya, drama 24 episod itu turut menyentuh sejarah Korea yang membabitkan penjajahan Amerika Syarikat dan Jepun.

Drama terbitan stesen televisyen tvN ini menyaksikan pelakon Hollywood, Lee Byung Hun sebagai hero selepas sembilan tahun tidak muncul di layar kaca.

Dia digandingkan dengan pelakon jelita Kim Tae Ri yang juga kali pertama membintangi drama televisyen.

Barisan pelakon lain yang menghidupkan lagi jalan cerita Mr Sunshine adalah Yoo Yeon Seok, Kim Min Jung dan Byun Yo Han.

Watak menarik

Sepanjang sembilan tahun, Byung Hun banyak membintangi filem Korea Selatan termasuk beberapa karya produksi besar Hollywood seperti GI Joe, The Magnificent Seven dan Terminator Genisys.

Jelas pelakon berusia 47 tahun itu, tawaran berlakon drama memang ada, cuma mahu lebih fokus beraksi di layar lebar.

“Saya bersetuju membintangi Mr Sunshine kerana pengarah Lee Eun Bok dan penulis skrip.

“Lagipun, saya memulakan karier lakonan dengan drama televisyen, jadi sentiasa terbuka untuk beraksi di layar kaca,” katanya.

Ujar Byung Hun, drama berlatarkan awal 1900 selain wataknya sebagai pegawai tentera Amerika Syarikat berasal dari Joseon dianggap menarik.

“Walaupun banyak memaparkan peristiwa sejarah, masalah politik dan kekacauan, drama ini sebenarnya mengetengahkan hubungan percintaan.

“Penonton luar mungkin kurang memahami sejarah Korea, namun saya percaya mereka tiada masalah menghayati drama ini,” katanya.

Setiap aspek dalam Mr Sunshine turut dititikberatkan pihak produksi.

Bagi menampakkan realiti jalan cerita yang berlatarkan kisah sebenar sejarah yang pernah berlaku di Korea, penggambaran dilakukan di lokasi sebenar tercetusnya peristiwa itu.

Ditanyakan perasaannya ketika berlakon di tempat bersejarah, Byung Hun mengakui ada membayangkan dirinya berada dalam kejadian sebenar.

“Ada beberapa lokasi dan kediaman aristokrat dalam drama ini adalah betul. Malah, produksi turut mendirikan set gergasi agar drama ini berkualiti,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya di set penggambaran, pelakon terbabit mengakui suasana sekarang berbeza berbanding dulu.

“Saya mendapati ramai kru orang muda dan mereka sangat bersemangat. Mungkin saya semakin tua,” katanya bergurau.

Kata Byung Hun lagi, kakitangan produksi turut melayannya dengan baik sehingga rasa sangat terharu.

“Dulu, ketika baru berkecimpung dalam bidang lakonan, saya paling muda di set penggambaran tetapi kini sebaliknya pula,” katanya.

Sabar disolek

Bagi Min Jung pula, tempoh solekan dan dandanan lama untuk mengubah imejnya kepada pemilik hotel jelita, Kudo Hina adalah kenangan sukar dilupakan.

“Setiap hari saya perlu menghabiskan masa lama untuk mendandan rambut dan pakai baju berdasarkan fesyen era itu.

“Pun begitu, saya tidak kisah duduk lama di kerusi solekan dan menghayati proses itu,” katanya.

Mr Sunshine mengisahkan Eugene Choi, anak hamba yang melarikan diri dari tanah airnya selepas ibu bapanya dibunuh majikan ketika dia berusia sembilan tahun.

Dia terserempak dengan kapal tentera Amerika Syarikat, USS Colorado dan dibawa pulang ke negara itu.

Kesungghan Eugene melayakkannya menjadi orang Asia pertama memegang jawatan sebagai pegawai tentera laut.

Suatu hari, Eugene diberikan misi khas untuk melaksanakan tugas bagi pihak Amerika Syarikat di Joseon kerana kebolehannya untuk bertutur dalam bahasa ibundanya.

Walaupun masih terkenang kekejaman menimpa keluarganya serta sikap hipokrit golongan bangsawan negara itu, Eugene terpaksa menggagahkan diri kembali ke sana.

Pegawai itu tidak menyangka jodohnya di tanah air sendiri dengan anak bangsawan Go Ae Shin yang mampu melembutkan hatinya yang keras.

Ae Shin pula digelar anak dara tua kerana masih belum berkahwin pada usia 23 tahun.

Ini kerana tunangnya, Kim Hee Sung yang dijodohkan oleh keluarga mereka sejak kecil menyambung pengajian di Jepun selama 10 tahun.

Berbeza dengan gadis lain, Ae Shin berlajar menembak dengan seorang pemburu bagi mempertahankan keselamatan diri.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 1:06pm
d