rap

Jangan salah tafsir niat saya - Nurul Zuriantie

Oleh Amirul Haswendy Ashari

FINALIS Top 20 Miss Universe New Zealand berketurunan Melayu, Nurul Zuriantie Shamsul, 20, tidak peduli kecaman netizen sejak menyertai pertandingan itu pada Jun lalu.

Nurul berkata, kebanyakan netizen melabelnya sebagai gadis 'biasa-biasa' kerana tidak memiliki kecantikan dan ketinggian seperti kebanyakan peserta pertandingan ratu cantik lain.

"Saya memang gadis 'biasa-biasa' dan inilah yang saya mahu buktikan bahawa gadis biasa seperti saya juga mampu mencapai impian sekaligus menjadi ikon kepada gadis lain di luar sana.

"Saya tidak pernah ambil peduli kata-kata negatif kerana apa penting adalah menjadi diri sendiri dan menunjukkan contoh yang baik kerana saya mewakili mereka yang beragama Islam, berbangsa Asia dan juga minoriti di negara asing," katanya di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Katanya, apatah lagi pertandingan disertainya tidak mempunyai tuntutan di segi ketinggian atau berat tertentu untuk menjadi peserta.

Pelajar tahun akhir jurusan Psikologi di University of Waikato itu juga berharap erti sebenar kecantikan dapat digambarkan dengan betul dan tidak terhad kepada paras rupa atau bentuk badan sahaja.

Anak sulong tiga adik beradik itu, dilahirkan di Ampang, Selangor dan dibesarkan di New Zealand sejak berusia lima tahun adalah peserta berhijab pertama berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik itu.

Anak pasangan Shamsul Ahmad (Malaysia) dan Ohan Anie Ediy (Indonesia) ini menyifatkan penyertaannya sebagai sesuatu memecah stereotaip dan berharap agar niatnya tidak disalah tafsir.

Bagi memastikan dia kekal sehingga ke pentas akhir Miss Universe New Zealand, Nurul memohon rakyat Malaysia agar dapat memberi sokongan melalui undian atas talian yang sudah dibuka sejak Jun.

Pentas akhir pertandingan itu akan diadakan pada 4 Ogos depan.

Untuk mengundi Nurul, boleh layari www.iticket.co.nz/events/2018/aug/nurul-shamsul.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 5:47pm
d