rap

Gemalai Langgang Branyo

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Gabungan tarian yang indah ternyata memikat peminat ketika menyaksikan pementasan tari Langgang Branyo anjuran Fakulti Pengurusan Akademi Seni Budaya yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan pada 29 dan 30 Jun lalu.

Langgang Branyo yang kedengaran unik namanya adalah tarian Portugis yang diketengahkan sewaktu pendudukan mereka di Melaka bermula 1511.

Ia kemudian diubah mengikut budaya Melayu pada waktu itu dan seterusnya lama-kelamaan diubah kepada tarian joget yang dikenali oleh semua masyarakat Malaysia sekarang.

Energi setiap barisan penari yang mengambil bahagian wajar dipuji. Mereka terdiri daripada pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya di bawah subjek Pengurusan Teater & Tari.

Selain menjadi medan latihan kepada pelajar, pementasan ini bertujuan memupuk kesedaran masyarakat Malaysia supaya menghargai seni budaya negara dan mengenal pasti bila serta di mana joget ini bermula.

Persembahan ini juga turut diselitkan dengan budaya, stail sekali gus busana yang digunakan mengikut era perkembangannya.

Pementasan ini berjaya memenuhi objektif bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai jenis tarian joget yang wujud di Malaysia, memantapkan usaha dalam memulihara seni dan warisan bangsa serta menambahkan pengetahuan berkenaan seni serta budaya negara.

Barisan koreografer yang terbabit untuk persembahan ini terdiri daripada Ealbie Breandent Abinus (Tandak), Douglas Philip Labadin (Tarantella), Dayang Norinah Datu Gastan (Branyo), Muhammad Nur Azammudin Tumiran (Ronggeng Melayu), Nur Farahin Omar (Joget Pahang, Joget Usik Mengusik, Joget Burung Tiong) serta Mohd Shafiq Md Yussof (Joget Senyum Memikat).

Tidak ketinggalan, Muhamad Zakwan Hafizie Zakaria (Joget Toleh Menoleh, Joget Kasih LRT), Muhammad Syazwan Razali (Joget Selfie) dan Mohd Seth Hamzah (Joget Pucuk Pisang).

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:09pm
d