rap

Cubaan cetus fenomena

Oleh Najiy Jefri

Tayangan episod pertama drama Cinta Tiada Ganti yang diadaptasi daripada drama popular Filipina, Sana’y Wala Nang Wakas bermula, Selasa lalu.

Drama terbitan Global Station Sdn Bhd ini yang dibintangi Nelydia Senrose dan Aedy Ashraf ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di saluran Astro Prima dan Maya HD.

Penerbitnya, Datin Zaiton Mohd Jiwa berkata, dia percaya drama yang bersiaran selama 100 episod itu bakal membuai emosi penonton.

“Alhamdulillah, Cinta Tiada Ganti adalah buah tangan kelima kami menghasilkan drama 100 episod. Setakat ini sesi penggambaran berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar.

“Saya berharap drama ini akan mengembalikan fenomena yang pernah tercetus di tanah air sebelum ini.

“Saya akui bukan mudah untuk menghasilkan drama ini kerana drama asalnya berjumlah lebih 300 episod tetapi kami terpaksa kecilkan menjadi 100 episod. Sudah tentu banyak perkara yang perlu kami lakukan

untuk memastikan jalan cerita drama ini sama seperti drama asalnya,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Global Station di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain kehadiran Nelydia dan Aedy, majlis itu turut dihadiri beberapa selebriti tempatan seperti Siti Elizad, Hisyam Hamid, Datin Paduka Umie Aida dan ramai lagi.

Barangkali kepakaran yang dimiliki syarikat produksi ini membuatkan mereka terus bertahan sehingga kini tanpa sebarang masalah besar yang berlaku.

Ditanya apakah formula yang membuatkan mereka berjaya melunaskan naskhah yang berepisod panjang dengan baik, Zaiton berkata, disiplin adalah kunci segalanya.

“Setiap pelakon dan kru produksi akan diajar untuk menjaga ‘call time’ dan sentiasa berdisiplin ketika penggambaran.

“Saya akan pastikan setiap artis yang terbabit tahu mengenai tanggungjawab dan risiko yang bakal dihadapi. Jujur saya tidak boleh bekerja dengan orang yang tidak menghargai rezeki. Saya tidak suka mana-mana pihak menggunakan rezeki yang diberikan sambil lewa.

“Selain itu, mereka juga harus kuat dari segi dan fizikal kerana penggambaran 100 episod ini mengambil masa yang lebih panjang di set penggambaran,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:13pm
d