rap

Reen mengaku cinta Mr AR

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MENGAKUI kini sedang berhubungan cinta dengan lelaki yang hanya dikenali sebagai Mr AR, itu sekaligus menutup khabar angin yang sebelum ini mengaitkan pelakon, Reen Rahim sebagai lesbian.

Reen, 30, berkata, dia mula mengenali lelaki itu sejak hampir setahun lalu.

"Saya kenal dia daripada rakan-rakan dan pada hari raya ketujuh, saya ke London untuk bercuti bersama dia dan keluarganya selama dua minggu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, keluarganya juga sudah mengenali keluarga teman istimewanya itu.

"Keluarga kami pun dah pernah berjumpa. Tapi, kami masih dalam proses mengenali satu sama lain dan belum ada sebarang perbincangan mengenai perkahwinan," katanya.

Reen bagaimanapun menjalani hubungan cinta jarak jauh memandangkan lelaki itu, bekerja dan menetap di Scotland.

"Jadi, setiap hari kami akan membuat panggilan video untuk berinteraksi. Saya selesa dengannya kerana dia tak pernah buat saya rasa jauh walaupun kami terpisah beribu batu," katanya.

Reen sebelum ini pernah kecewa akibat putus cinta dan tidak memiliki kekasih selama dua tahun sebelum bertemu lelaki berusia 28 tahun itu.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 11:25pm
d