rap

Suami tak larang

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Setiap kali mendengar lagu Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku diputarkan di radio, kita pasti terbayang wajah penyanyinya, Azie yang dulunya pernah memikat hati ramai peminat.

Suara penyanyi kelahiran Sarawak itu amat serasi dengan karya ciptaan komposer Saari Amri.

Kerjaya seni Azie atau nama sebenarnya Roeziah Mustapha bermula pada 1995. Selepas popular, dia perlahan-lahan berundur dari industri hiburan apabila berkahwin pada tahun 2000.

“Saya berkahwin dengan Nazarudy Abdul Wahed pada Julai 2000 dan ambil keputusan balik ke Kuching, Sarawak.

“Namun ketika itu saya masih berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana ada perniagaan butik.

“Malah, jemputan menyanyi juga masih ada sehinggakan kerap juga saya ke Semenanjung,” katanya.

Selepas melahirkan anak kedua, Azie berasakan masa kian terhad dan nekad memilih untuk fokus kepada keluarga tercinta.

“Saya juga tak berani bagi komitmen pada perniagaan dan butik diambil alih kakak ipar sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya banyak terima undangan menyanyi di Sarawak,” katanya.

Azie tidak menafikan rasa terharu setiap kali lagu dendangannya diputarkan di radio.

“Walaupun dah berpuluh tahun, orang masih ingat. Perasaan rindu untuk menyanyi seperti dulu membuak-buak datang.

“Apatah lagi dengan adanya laman sosial dan aplikasi WhatsApp memudahkan kita berinteraksi dengan peminat dan kawan-kawan dalam industri seni,” katanya.

Langkah Azie, 41, untuk kembali aktif dalam arus perdana terbuka luas apabila dia ditawarkan terbabit dalam album mini bersama barisan artis era 90-an tidak lama lagi.

“Segala-galanya bermula apabila artis 90-an mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri dan saya kembali berjumpa mereka.

“Dari situlah saya ditawarkan terbabit dalam album yang turut menampilkan Mac Ruhayu, Haslinda, Azura Aziz dan Norli Tamam (Kumpulan Primadona).

“Mereka sudah rakam vokal dan hanya saya yang belum. Saya akan menyanyikan lagu ciptaan Rosli Ahmad dan lirik oleh Andy Sulaiman. Ia kesinambungan lagu Pelamin Anganku Musnah,” katanya.

Azie mengakui rumah tangga yang dibina selama 18 tahun bersama suaminya kekal bahagia sehingga kini.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami diserikan dengan tiga anak iaitu Nurul Izza Amani, 17, Muhammad Aiman Al Hakim, 14, dan Adryiel, 8.

“Suami merestui dan menyokong penuh hasrat saya untuk kembali aktif menyanyi.

“Ia minat saya dan insya-Allah saya boleh bahagikan masa antara keluarga dan karier. Anak-anak pun sudah besar.

“Alhamdulillah semuanya nampak teratur. Restu suami dan anak-anak amat penting buat saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 11:15am
d